PETALING JAYA: Pegawai Jabatan Kastam dan Perlindungan (CBP) Amerika Syarikat (AS) telah merampas empat penghantaran minyak sawit Malaysia bernilai hampir AS$2.5 juta (RM10.45 juta) di Baltimore berikutan maklumat menunjukkan minyak sawit itu dihasilkan oleh buruh paksa.
Menurut CBP AS, mereka telah merampas hampir AS$2.5 juta produk minyak sawit, termasuk penghantaran terbaharu pada 1 Mac 2022, setelah mendapat tahu minyak sawit itu dikilang menggunakan buruh paksa.
“Pegawai CBP AS telah membuat rampasan terbaharu merangkumi 108 pek super asid plamitik pada 1 Mac lalu, selain merampas tiga penghantaran awal membabitkan 270 pek super asid palmitik pada 11 Februari lalu.
“Pek super adalah guni besar fleksibel yang digunakan untuk mengangkut kargo pukal seperti pasir, bijirin, biji kopi atau bahan berserbuk.
“Asid Platimik pula ialah minyak sawit yang ditapis menjadi serbuk yang boleh digabungkan dengan mudah ke dalam makanan, minuman dan produk penjagaan kulit serta kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, keempat-empat penghantaran asid palmitik itu dihasilkan di Malaysia dan dihantar ke kemudahan pemprosesan di Delaware.
Berat gabungan empat penghantaran asid tersebut mencapai 544, 176 paun dan bernilai kira-kira AS$2.46 juta (RM10.30 juta).
Pada 28 Januari lalu, CBP telah mengeluarkan Notis Penemuan kepada Pendaftar Persekutuan (FRN 2022-01779) yang menyatakan minyak sawit dan produk derivatif tertentu yang dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya dengan minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia, menggunakan banduan atau buruh paksa yang tidak boleh diterima kerana melanggara 19 USC 1307 dan 19 CFR 12.42.
Pemangku Pengarah Bahagian CBP di Baltimore, Marc Calixte berkata, tiada tempat untuk buruh paksa dalam dunia hari ini dan CBP berpendirian teguh menentang syarikat asing yang mengeksploitasi pekerja yang terjejas.
“CBP akan terus memastikan barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa tidak memasuki perdagangan negara ini dan kami akan membantu menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan itu dalam rantaian bekalan AS,” katanya.
CBP memberitahu, ia akan merampas keempat-empat penghantaran terbaharu itu sekiranya pengimport tidak memberi maklum balas kepada jabatan itu dalam tempoh tiga bulan.
CBP telah menerima dakwaan buruh paksa itu daripada pelbagai sumber, termasuk orang awam.
Berkuat kuasa 30 Disember 2020, CBP mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation Berhad, anak syarikat, syarikat usaha sama dan entiti gabungannya di Malaysia.
WRO adalah berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan kewujudan kesemua 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluaran Sime Darby Plantation.
Pegawai CBP pada mulanya menahan tiga penghantaran pertama pada 30 November 2021 dan menahan penghantaran terbaharu pada 3 Disember 2021.
CBP telah memberi peluang kepada pengimport penghantaran yang ditahan untuk mengeskport penghantaran mereka atau menunjukkan bahawa barangan itu tidak dihasilkan oleh buruh paksa.
Pengimport tidak memberi tindak balas kepada CBP dalam tempoh tiga bulan, dan CBP telah merampas keempat-empat penghantaran tersebut. – UTUSAN









