PETALING JAYA: Pertumbuhan indeks nilai seunit eksport Malaysia menunjukkan trend positif bagi tempoh empat bulan berturut-turut pada Januari 2022 dengan peningkatan 1.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut disumbangkan oleh kenaikan 3.3 peratus bagi indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran, minyak galian (2.1 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.3 peratus).
“Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 11.8 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan sebanyak 15.4 peratus bagi indeks pelbagai barang keluaran kilang, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-11.4 peratus) dan minyak galian (-7.8 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim bertumbuh 0.5 peratus daripada 154.4 mata kepada 155.1 mata. Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.5 peratus dan 7.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memaklumkan, indeks nilai seunit import pula menyusut 0.5 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan sebanyak 4.6 peratus bagi indeks minyak galian, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.3 peratus) serta bahan kimia (-0.2 peratus).
“Indeks volum import turut menyusut 0.04 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan 4.2 peratus bagi pelbagai barang keluaran kilang, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-2.8 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.3 peratus).
Indeks volum import pelarasan bermusim pada Januari 2022 meningkat 1.5 peratus daripada 166.8 mata kepada 169.3 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 7.1 peratus dan 18.1 peratus,” ujarnya.
Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus bulan ke bulan kepada 109.1 mata pada Januari 2022.
Perbandingan tahun ke tahun prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 7.9 peratus daripada 101.1 mata pada Januari tahun lalu. – UTUSAN