PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Arab Saudi, SAUDIA Airlines (SAUDIA) telah menandatangani penerimaan tawaran penerbangan haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas bagi jemaah haji Malaysia bagi tempoh tiga tahun sehingga 2024.
Penerimaan Tawaran tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAUDIA, Kapten Ibrahim Koshy, manakala TH diwakili Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Majlis menandatangani penerimaan tawaran itu telah diadakan di Jeddah Superdome, Arab Saudi dan disaksikan oleh Ketua Pengarah SAUDIA, Eng Ibrahim Al Omar bersempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Ibrahim berkata, sebanyak 50 peratus jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh SAUDIA secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz Madinah.
Kata beliau, SAUDIA memberi perhatian besar terhadap sektor haji dan umrah di mana satu jabatan telah ditubuhkan bertujuan menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat jemaah haji dan umrah.
“Ia juga berperanan untuk menarik kehadiran jemaah, memilih segmen permintaan perjalanan yang tinggi, bekerjasama dengan organisasi dan entiti luar negara yang mengendalikan urusan haji dan umrah untuk rakyat mereka, membuat jadual perjalanan dan menyelaras kelancaran pergerakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Saudi untuk kemudahan semua tetamu.
“SAUDIA akan menggunakan Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan dan pengalaman haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh TH.
Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH merupakan satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi
keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.
Beliau berkata, tawaran kepada SAUDIA untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji untuk jemaah haji Malaysia dari 2022 hingga 2024, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
“Penyediaan penerbangan sewa khas haji ini adalah usaha berterusan TH dan merupakan salah satu persediaan awal TH bagi membawa jemaah haji Malaysia ke tanah suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










