PETALING JAYA: Kempen “Gadai Emas Menang Emas” (GEME) anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) berjaya merekodkan peningkatan pertumbuhan keuntungan sebanyak 18.28 peratus tahun lalu berbanding 2020.
Menurut Bank Muamalat, kempen selama 10 bulan, dari 1 Mac hingga 31 Disember 2021 itu mendapat sambutan baik, dengan 9,432 pelanggan melibatkan 15,011 akaun dan RM122.57 juta nilai pembiayaan baharu, berjaya dikekalkan sepanjang tempoh kempen tersebut.
“Menerusi perkhidmatan Pajak Gadai-i Bank Muamalat, pelanggan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tunai segera, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan itu bagi penyimpanan emas, sekali gus layak secara automatik menyertai kempen GEME, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat menawarkan margin pembiayaan sehingga 80 peratus kepada semua pelanggan dan had pembiayaan sehingga RM1,000,000 untuk pelanggan pajak gadai Islam.
“Kadar keuntungan yang dikenakan adalah di atas nilai pembiayaan dan bukan lagi di atas nilai emas yang dicagarkan oleh pelanggan. Oleh itu, pelanggan pajak gadai Islam Bank Muamalat akan menikmati kadar keuntungan yang lebih rendah,” jelasnya.
Selain itu, kata beliau, susulan pandemik Covid-19 yang melanda, Bank Muamalat juga telah memperkenalkan perkhidmatan gadaian semula Ar-Rahnu secara dalam talian yang pertama di Malaysia bagi memenuhi keperluan tunai segera.
“Dengan inisiatif ini, pelanggan tidak perlu hadir ke cawangan Bank Muamalat untuk membuat gadaian semula. Pelanggan hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat transaksi gadaian semula. Dengan cara ini, semua pihak dapat mengurangkan risiko pendedahan kepada wabak COVID-19,” tambah Khairul.
Dalam pada itu, Rogayah Harun dari Telong Panglima Garang, Selangor muncul pemenang utama GEME dengan memenangi hadiah barangan kemas pelbagai jenis bernilai RM100,000. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd. Jaffar Julaihi dari Kuching, Sarawak, yang menerima bnarangan kemas pelbagai jenis bernilai RM75,000 dan ketiga, Idayu Artikah Taib dari Ampang, Selangor, memenangi barangan kemas pelbagai jenis bernilai RM25,000.
Sementara itu, 100 pemenang bulanan telah menerima hadiah berupa satu gram kepingan emas 999 (24k) eksklusif dengan logo Bank Muamalat, melalui cabutan bulanan yang dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung. – UTUSAN










