PETALING JAYA: Pengeluar tenusu terkemuka Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) melantik kontraktor tempatan, Seremban Engineering Berhad (SEB) sebagai kontraktor utama untuk membina kilang pembuatan produk tenusu halal baharunya di Techpark, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Kontrak bernilai lebih RM100 juta itu merangkumi semua kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina yang akan dikendalikan oleh SEB untuk membina hab pembuatan produk tenusu halal baharunya yang berkeluasan kira-kira 13 hektar.
Kontrak itu bernilai 25 peratus daripada jumlah RM400 juta pelaburan DLMI dan hab pembuatan tenusu halal baharu itu dijangka akan mula beroperasi pada 2024.
Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian itu sejak 59 tahun kewujudan syarikat di Malaysia kerana ia menjadi bukti kepentingan negara selaku hab tenusu halal.
“Kerja-kerja pembinaan telah bermula di hab pembuatan tenusu halal baharu kami ini yang bakal membolehkan proses pembuatan dilakukan secara lebih efisien. Secara tidak langsung, ini akan menggandakan kapasiti pengeluaran kami.
“DLMI mengalu-alukan kerjasama dengan SEB kerana ianya mewujudkan peluang berkolaborasi dengan rakan kongsi lain untuk membina hab pembuatan tenusu halal masa depan Malaysia, seterusnya Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa untuk generasi kita akan datang,” katanya dalam kenyataan.
SEB yang memiliki rekod prestasi selama 42 tahun merupakan syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia yang mengkhusus dalam fabrikasi peralatan dan keluli, perkhidmatan kejuruteraan dan pemasangan kilang.
Negeri Sembilan menjadi destinasi pelaburan pilihan DLMI kerana dasar negeri yang mesra perniagaan selain faktor jaraknya yang berdekatan dengan Lembah Klang.
Kemudahan baharu DLMI di Techpark, Bandar Enstek ini turut terletak di lokasi yang strategik dan dihubungkan dengan infrastruktur yang sangat baik dan rangkaian jalan raya ke semua pusat bandar dan pelabuhan.
Hab industri halal yang semakin berkembang di Techpark @ Enstek yang turut menjadi tuan rumah pelbagai jenama makanan dan minuman (F&B) lain juga menjadi penentu dalam mempengaruhi keputusan DLMI membina kemudahan baharu itu di Negeri Sembilan. – UTUSAN










