SEREMBAN: Syarikat pengeluar simen kedua terbesar di negara ini, Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) bakal membuat pelaburan berjumlah RM120 juta bagi membangunkan sistem pemulihan haba sisa di kilangnya yang terletak di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.
Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim berkata, sistem teknologi hijau tersebut dijangka siap menjelang tahun 2024 dan berdasarkan unjuran pihaknya, ia bakal menjimatkan kira-kira 30 peratus penggunaan elektrik.
Selain itu kata beliau, sistem berkenaan juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 24 peratus setiap tahun di kilang tersebut.
“Untuk CIMA ini adalah kali pertama kita melaksanakannya namun di Malaysia sudah ada beberapa kilang yang menggunakan sistem ini. Ini antara pelaburan terbesar kami setakat ini.
“Daripada segi nilai, pengurangan 30 peratus itu boleh menjimatkan kira-kira RM2 juta hingga RM2.5 juta bil elektrik di kilang Bahau di mana sistem pemulihan haba ini akan dibangunkan bermula April depan,” katanya dalam taklimat media mengenai Sambutan Jubli Emas dan Upacara Pecah Tanah Sistem Pembangunan Sisa Haba di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Loji Simen (Bahau), Azahari Matt dan Ketua Pegawai Kewangan CIMA, Khor Khai Nee.
Tambah Sharuddin, pembangunan sistem pemulihan haba ini merupakan kesinambungan kepada usaha CIMA untuk terus beroperasi secara mampan dan menjaga kelestarian alam sekitar.
Katanya, CIMA yang merupakan anak syarikat milik UEM Group Berhad (UEM Group) telah menggunakan sistem pembakaran bahan api alternatif di kilang di Bahau sejak tahun 2014 yang dibangunkan menggunakan teknologi dari Jepun bagi mengurangkan jejak karbon.
“Kami turut merancang untuk melaksanakan inisiatif hijau lain di kilang kami di Bukit Ketri, Perlis sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk menjadi lebih mesra alam sekitar selari dengan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi harian selain menjayakan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbin sebelum 2050,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas dan Upacara Pecah Tanah Sistem Pemulihan Haba Sisa CIMA akan diadakan pada 31 Mac depan dan ia bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. – UTUSAN










