PETALING JAYA: Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank Negara Malaysia (BNM), Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank mengumumkan penyempurnaan versi prototaip platform yang dikongsi bersama, membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai mata wang digital bank pusat (CBDC).
Projek Dunbar yang diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura telah membuktikan institusi kewangan boleh menggunakan CBDC yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta untuk melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain menggunakan platform yang dikongsi bersama.
Pengaturan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan pada pihak pengantara, sehubungan dengan itu, kos dan masa yang diambil untuk memproses transaksi rentas sempadan dapat dikurangkan.
Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Andrew McCormack berkata, platform yang dikongsi bersama merupakan model yang paling cekap bagi kesalinghubungan pembayaran, namun model ini paling mencabar untuk dilaksanakan.
“Projek Dunbar membuktikan bahawa kebimbangan utama mengenai kepercayaan dan kawalan bersama boleh ditangani menerusi mekanisme tadbir urus yang dikuatkuasakan melalui kaedah teknologi yang mantap.
“Hal ini menjadi asas bagi pembangunan platform global dan serantau pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Projek tersebut disusun mengikut tiga aliran kerja iaitu satu aliran kerja memberikan tumpuan pada keperluan dan reka bentuk fungsi pada tahap tinggi, manakala dua aliran teknikal yang bergerak secara serentak untuk membangunkan prototaip menggunakan dua platform teknologi yang berbeza (Corda dan Partior).
Selain itu, ia menyarankan penyelesaian praktikal untuk menangani isu-isu tersebut dan disahkan melalui pembangunan prototaip yang menunjukkan daya maju teknikal platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama bagi penyelesaian antarabangsa.
Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, Projek Dunbar menghasilkan pemahaman yang bermanfaat tentang bagaimana platform pelbagai CBDC berpotensi untuk menyelesaikan isu yang kompleks dalam ruang pembayaran rentas sempadan.
“Projek ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama bank pusat dalam menyokong pembangunan infrastruktur pembayaran generasi akan datang.
“Kami berhasrat untuk memanfaatkan pemahaman tersebut melalui pembuktian konsep yang lain untuk meneruskan penerokaan CBDC,” ujarnya. – UTUSAN










