Rusia menghasilkan kira-kira 11 juta b/d

[ANALISIS] Pencerobohan Ukraine, malapetaka bagi industri minyak Rusia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDUDUK dunia menggunakan kira-kira 97 juta tong sehari (b/d) minyak mentah. Rusia menghasilkan kira-kira 11 juta b/d. Negara berkenaan adalah pengeluar besar minyak mentah, kedua selepas Amerika Syarikat.

Rusia mengeksport kira-kira 8 juta b/d. Ia mengeksport 80 peratus pengeluarannya ke Eropah. Rantau Eropah menerima 40 peratus bekalan minyak mereka dari Rusia.

Dalam erti kata lain, mengurangkan minyak Rusia dalam tempoh lima tahun yang kini menjadi matlamat Eropah, memerlukan mereka mencari bekalan alternatif kira-kira 6 juta b/d, sama ada sumber minyak lain atau tenaga bukan minyak atau langkah kecekapan tenaga.

Ia akan mengambil masa lebih lama daripada pergi ke Arab Saudi atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan meminta negara berkenaan `bersikap baik’ , meningkatkan pengeluaran satu atau dua juta tong sehari.

Bagaimana pula dengan Rusia? Negara itu membawa masuk hasil mungkin sekitar AS$300 bilion (RM1.26 trilion) setahun daripada eksport minyak berdasarkan harga semasa. Minyak Brent kini didagangkan pada AS$118.00 (RM497.31) setong naik 2.07 peratus, sementara WTI AS$114.3 (RM481.72), naik 1.9 peratus, lapor oilprice.com.

Keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Rusia sebelum pencerobohan ke atas Ukraine, hanya AS$1.5 trilion (RM6.32 trilion), menjadikan ekonominya lebih kecil daripada Itali dan kira-kira sama saiz dengan New York.

Sekatan jangka terdekat ke atas minyak Rusia mungkin mempunyai kesan teruk ke atas Eropah, tetapi ia akan membawa bencana kepada negara berkenaan.

Dalam jangka panjang, walaupun perang berakhir, Rusia akan kehilangan pasaran eksport terbesarnya iaitu Eropah.

Eropah (termasuk Britain yang tidak bergantung kepada minyak Rusia), telah mengambil langkah aktif untuk membangunkan tenaga nuklear, membina tenaga boleh diperbaharui, dan membangunkan sumber hidrogen. Perang Ukraine hanya mempercepatkan usaha tersebut.

Di Amerika Syarikat (AS), ahli politik mengambil pendekatan berbeza. Perang Ukraine menunjukkan kepada mereka, keperluan untuk mengembangkan pengeluaran bahan api fosil dan menghapuskan perlindungan alam sekitar yang mungkin memperlahankan proses itu.

Usaha melobi tenaga nuklear di Eropah telah meningkat, dan dijangkakan perkara yang sama berlaku di AS.

Tindakan Rusia ke atas Ukraine, ibarat `membunuh diri’ kerana ia boleh menjejaskan pasaran minyak dan gasnya.

Selepas ini, Rusia bakal beralih ke China (atau India) sebagai pembeli komoditi utama mereka. Tanpa pilihan lain, penjual minyak dan gas asli Rusia akan mengambil apa sahaja yang ditawarkan oleh pembeli kepada `pembekal yang mudah marah.’

Bagi Eropah, perang akan membawa kepada perebutan bekalan minyak dan gas, usaha baharu dalam sektor boleh diperbaharui, dan mungkin kebangkitan semula nuklear atau sekurang-kurangnya penangguhan penutupan loji sedia ada. Dijangkakan, aktiviti serupa di AS membabitkan pengeluaran bahan api fosil.

Namun, hakikatnya, harga bahan api fosil yang tinggi menjadikan sumber tenaga yang kompetitif seperti tenaga boleh diperbaharui dan nuklear dilihat lebih menarik dalam jangka masa panjang.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mungkin telah melakukan lebih banyak tindakan yang membahayakan masa depan industri bahan api fosil berbanding pemimpin lain dalam sejarahnya.

Persoalannya, “Siapa yang memerlukan risiko geopolitik yang berterusan, apabila kita boleh membuat (sekurang-kurangnya sebahagian) tenaga kita sendiri?” – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×