Bekas Perdana Menteri Jepun lawat UMW Toyota Motor

Abe lawat kilang UMW Toyota Motor

Shinzo Abe diberi penerangan mengenai operasi kilang pengeluaran UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke kilang pembuatannya di Bukit Raja dekat sini.

Lawatan Abe yang merupakan wakil khas kerajaan Jepun pada Sabtu lalu itu bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur.

Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran berkata, kunjungan Abe merupakan satu penghormatan di mana beliau dapat menyaksikan sendiri transformasi sektor automotif di negara ini ke arah mobiliti mampan melalui pengenalan Teknologi Elektrik Hibrid Toyota.

Katanya, pengenalan teknologi itu merupakan langkah penting untuk memacu Malaysia dengan pantas ke arah matlamat neutral karbon.

“Bersama rakan kongsi kami di Malaysia dan syarikat Kumpulan Toyota, Toyota akan terus mengambil peranan utama untuk menyumbang kepada pembangunan industri automotif Malaysia, serta membangunkan sumber manusia dan alam sekitar ke arah memupuk masyarakat mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut UMW Toyota Motor, syarikat menyokong kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara progresif yang menggalakkan teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar, dalam mengurangkan jejak karbon.

Pada Januari tahun ini, pembuat kereta terbabit melancarkan Corolla Cross Hybrid, kenderaan elektrik buatan tempatan pertama melalui platforom Toyota New Global Architecture (TNGA).

Ia selaras dengan komitmen Toyota Motor Corporation (TMC) untuk menyampaikan ‘Mobiliti untuk Semua’ dan menghasilkan ‘Kebahagiaan untuk Semua’ ke arah mewujudkan ‘Masyarakat Bersih dan Selamat’ .

Menurut syarikat itu, kilang di Bukit Raja berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab automotif dalam Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Kemudahan itu dibina dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion di samping RM270 juta untuk kos operasi.

Kilang itu dilengkapi dengan teknologi inovatif termaju dan cekap, dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 50,000 kereta setiap tahun.  Ia kini mengeluarkan Toyota Vios, Yaris dan Corolla Cross, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid Corolla Cross. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN