PETALING JAYA: Zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Ia wajib dikeluarkan bagi umat Islam yang sudah cukup syarat iaitu cukup haul dan nisab.
Bagi 2022, nisab zakat adalah RM20,361. Untuk itu, mana-mana simpanan atau harta yang secara kolektifnya berjumlah melebihi nisab, dikenakan zakat 2.5 peratus.
Zakat harta terdiri daripada pelbagai bentuk dan sumber seperti zakat pendapatan, emas dan perak, saham, perniagaan dan wang simpanan.
Zakat wang simpanan secara relatifnya berkaitan dengan setiap wang yang disimpan sendiri atau disimpan di bank atau di mana-mana institusi kewangan.
Bagaimana dengan simpanan ASB? Menurut Pengurus Unit Syariah & Antarabangsa PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abd. Rahman, simpanan ASB bersifat pelaburan dan zakat dikenakan pada nilai pokok yang disimpan serta dividen yang diterima.
Kata beliau, zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB. Hal ini kerana terdapat sebuah kaedah dalam ibadah zakat yang bermaksud, “setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.”
“Pelaburan yang dibuat di ASB adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun.
“Oleh yang demikian, sesuatu hasil yang diperoleh menerusi pengembangan harta (yang disandarkan kepada emas dan perak) dikenakan zakat sebanyak 2.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Husni, sekiranya seseorang itu tidak keluarkan zakat atas dividen pada tahun-tahun sebelumnya, maka perlu kira untuk setiap tahun yang tidak ditunaikan zakatnya berserta nilai pokok yang disimpan pada tahun-tahun tersebut.
Jumlah yang melebihi nisab pada tahun-tahun tersebut perlu dikeluarkan zakat ke atasnya.
Sebagai contoh, tahun 2020 masih belum ditunaikan zakat ke atas wang simpanan dan dividen di ASB. Maka perlu dikira jumlah nilai pokok dan dividen sekiranya mencapai nisab perlu keluarkan zakat 2.5 peratus. Begitu juga untuk tahun-tahun seterusnya yang masih belum ditunaikan zakat, jelasnya.
Tambah beliau, jika seseorang itu mempunyai wang simpanan dan dalam pada yang sama mempunyai hutang yang perlu dilangsaikan, perlu dilihat kategori hutang-hutang tersebut.
“Sekiranya hutang itu perlu dibayar pada tahun semasa atau pun dituntut dan memberi implikasi sekiranya tidak dilangsaikan, maka perlu didahulukan untuk membayar hutang tersebut tidak kira sama ada pada individu atau mana-mana institusi kewangan.
“Akan tetapi jika hutang tersebut merupakan hutang yang tertangguh atau dibayar secara beransur, tidak ditolak dari wang simpanannya untuk dizakatkan,” jelasnya. – UTUSAN










