PETALING JAYA: Keuntungan sebelum cukai (PBT) Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK 2021) melonjak 49.3 peratus kepada RM219.2 juta daripada RM146.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan turut mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 14.6 peratus kepada RM1.75 bilion daripada RM1.53 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Jualan hartanah Kumpulan juga menokok 45 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat TK 2021pula, Mah Sing mencatatkan peningkatan PBT sebanyak 14.4 peratus kepada RM52.9 juta berbanding RM46.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan turut mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak 13.7 peratus kepada RM537.4 juta pada suku tersebut berbanding RM472.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Segmen pembangunan hartanah telah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM259.7 juta dengan pendapatan sebanyak RM1.34 bilion, masing-masing 64 peratus dan 13 peratus lebih tinggi daripada keuntungan operasi dan hasil yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Menurut Mah Sing, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pelaksanaan yang kukuh, kejayaan pembangunan dan projek mampu miliknya dan inisiatif pemasaran digital yang berkesan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, apabila ekonomi pulih dan menunjukkan tanda-tanda yang menggalakkan untuk kembali normal, pihaknya merancang untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion pada 2022.
“Kami menyasarkan untuk mencapai RM2 bilion jualan hartanah baharu tahun ini, pertumbuhan 25 peratus daripada 2021.
“Harganya akan menarik, dengan 60 peratus hartanah bernilai bawah RM500,000 dan 94 peratus bernilai bawah RM700,000.
“Sebanyak 21 projek pembangunan yang kukuh akan menyokong pertumbuhan jualan pada 2022 termasuk pelancaran baharu seperti M Senyum di Sepang, M Astra di Kepong, M Panora di Rawang, Ferringhi Residences di Pulau Pinang dan rumah dua tingkat di Meridian East, Johor.
“Kami optimis projek hartanah akan terus mendapat tarikan daripada pembeli terutamanya disebabkan oleh lokasi strategik dengan tawanan pasaran yang besar, harga yang berpatutan dengan reka bentuk yang baik selaras dengan permintaan pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, kunci kira-kira Kumpulan yang sihat mencerminkan pengurusan kewangan dan pelaksanaan strategi Kumpulan yang kukuh untuk memacu pertumbuhan menerusi perbankan tanah yang strategik dan pemulihan yang cepat.
Jelasnya, walaupun sekatan perjalanan dilaksanakan, penjanaan tunai syarikat tetap kukuh disebabkan milikan beberapa hartanah kosong pada tahun tersebut dengan baki tunai akhir tahun sebanyak RM1.02 bilion.
Setakat 31 Disember 2021, Mah Sing mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM1.9 bilion yang turut menambah kepada pendapatan Kumpulan.
“Dengan kadar kerja yang baik, Kumpulan menyasarkan kadar milikan kosong yang lebih tinggi pada 2022 untuk menjana aliran tunai yang sihat.
“Dengan kunci kira-kira yang kukuh, kami sentiasa mencari tanah baharu yang tertumpu kepada tanah di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor yang sesuai untuk produk mampu milik.
Kumpulan memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan mencadangkan dividen pertama dan akhir sebanyak 2.65 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 4.0 peratus berdasarkan harga penutup pada 24 Februari 2022 sebanyak RM0.66 sen. – UTUSAN










