PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mencatat lonjakan keuntungan bersih kepada RM43.8 juta pada tahun kewangan yang dilaporkan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), berbanding RM14.4 juta pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu sekali gus membolehkan syarikat meneruskan pembayaran dividen interim peringkat pertama sebanyak 3.00 sen sesaham biasa pada TK2021.
Syarikat turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 13 peratus kepada RM2.3 bilion berbanding RM2 bilion pada TK2020.
“Keuntungan bersih yang dinormalisasi pada TK2021 dicatatkan meningkat kepada RM57.7 juta berbanding RM45.2 juta pada TK2020.
“Bagi suku keempat TK2021, Syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.7 juta dengan pendapatan sebanyak RM699.2 juta, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM8.7 juta dan pendapatan sebanyak RM571.9 juta pada suku ketiga TK2021,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, strategi Edgenta of the Future 2025 (EoTF 2025) telah mengukuhkan kedudukan syarikat pada 2021 dengan menyusun semula keutamaan yang akan terus membantu membina masa hadapan yang mampan.
“Tumpuan kami yang berterusan dalam memperluaskan jejak pasaran global, pendekatan berdisiplin dalam memacu kecekapan kos dan mempelbagaikan aliran pendapatan baharu telah membolehkan kami menutup tirai 2021 dan memulakan 2022 dengan asas yang kukuh di seluruh operasi kami,” katanya.
Syahrunizam berkata, syarikat berbesar hati dapat meneruskan pembayaran dividen tahun ini, yang juga mencerminkan komitmen untuk menegakkan dasar dividen syarikat.
“Selaras dengan dasar nisbah pembayaran dividen antara 50 dan 80 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI), ahli–ahli Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim untuk tahun ini bagi menghargai sokongan berterusan dan kepercayaan daripada para pemegang saham kami. Kami akan meneruskan komitmen kami untuk memberikan pulangan yang mampan,” tambah beliau.
Bagi unjuran 2022, Syarikat kekal optimistik namun berwaspada dengan jangkaan pemulihan beransur-ansur ke arah persekitaran operasi Covid-19 yang lebih rancak. – UTUSAN










