JAKARTA: Syarikat Foxconn yang berpangkalan di Taiwan, akan melabur dalam pengeluaran kenderaan elektrik dan bateri di Indonesia pada suku ketiga, kata Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia dalam satu forum, kelmarin.
Berita itu muncul di tengah-tengah usaha negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu untuk menjadi hab global bagi kenderaan elektrik (EV).
Beliau memberitahu, Foxconn, pemasang iPhone, akan membina kilang di atas kawasan seluas 200 hektar (494.21 ekar) di zon perindustrian Batang di Jawa Tengah untuk membuat sel bateri, katod dan alat ganti telekomunikasi sebagai tambahan kepada kenderaan.
Katanya, pelaburan itu dijangka mencecah AS$8 bilion (RM33.46 bilion).
Pengerusi Foxconn, Liu Young-way bagaimanapun menjelaskan kepada pemberita di Taipei bahawa jumlah pelaburan itu membabitkan lima pihak dalam perkongsian EV dan bukan hanya oleh syarikatnya. Liu tidak memberikan pecahan pelaburan berkenaan.
Foxconn bulan lalu berkata, ia akan bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan Indonesia dan syarikat milik negara, Indonesia Battery Corporation, firma tenaga PT Indika Energy dan vendor skuter elektrik, Taiwan Gogoro untuk skop pelaburan yang luas dalam industri EV.
Kerjasama itu dikatakan termasuk melibatkan pembuatan bateri.
Sebelum ini, Foxconn telah mengembangkan aktiviti EV dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengumumkan perjanjian dengan syarikat permulaan AS Fisker Inc. dan kumpulan tenaga Thai PTT.
Indonesia telah cuba menarik pelaburan daripada Foxconn selama bertahun-tahun tetapi perjanjian sebelumnya yang dipersetujui pada 2015 menemui kegagalan.
“(Pelaburan) Foxconn tidak berlaku kerana ia pernah meminta insentif cuti tanah dan cukai sebelum ini. Jadi saya mendapat arahan daripada presiden untuk mencari jalan mendapatkan Foxconn.
“Sekarang kerajaan telah menyediakan tanah murah di zon perindustrian, berdekatan dengan tol dan kereta api,” kata Bahlil. – AGENSI










