KLANG: Pusat Borong GM Klang yakin tahun ini akan membawa kepada peningkatan ekonomi yang lebih baik selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya.
Pengurus Komunikasi Jenama Pusat Borong GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan sektor ekonomi yang lebih positif untuk tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan kuasa beli pengguna dan bilangan usahawan yang semakin meningkat.
“Keadaan ini turut mendorong kepada permintaan sewaan ruang perniagaan yang lebih tinggi di GM Klang berbanding tahun sebelumnya.
“GM Klang sentiasa memastikan momentum transaksi perniagaan (para peniaga & pelanggan) dalam keadaan stabil.Usaha ini dilaksanakan melalui perbelanjaan pengiklanan dan promosi yang dipertingkatkan lagi bagi mengukuhkan aktiviti penjenamaan GM Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norsuhaida berkata, bas-bas rombongan kembali meningkat walaupun dengan kadar yang sederhana tetapi mampu menampakkan kerancakan jumlah pengunjung yang bertambah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas.
Katanya lagi, GM Klang juga mendapat banyak pertanyaan positif daripada peniaga-peniaga luar mengenai ruang perniagaan dan ini menunjukkan jenama GM Klang masih mendapat kepercayaan untuk mereka meluaskan perniagaan di premis berkenaan.
“Pusat borong terbesar di Malaysia ini menyasarkan permintaan ruang sewaan perniagaan akan meningkat lebih 30 peratus tahun ini berbanding sebelumnya.
“Penawaran platform perniagaan yang komprehensif, serta pelbagai pilihan ruang komersial yang sedia untuk disewa, kemudahan fasiliti dan jumlah pengunjung yang mencecah anggaran 20,000 orang sehari, pastinya manfaat perniagaan yang efektif untuk para usahawan memulakan ataupun meluaskan perniagaan mereka di GM Klang,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, GM Klang kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempelbagaikan penawaran bukan sahaja produk tempatan malah antarabangsa.
Beliau menambah, antaranya dengan pembukaan beberapa pameran produk berskala besar, yang bukan sahaja menawarkan pelbagai produk berpotensi untuk diniagakan, malah turut berperanan sebagai platform yang memudahkan usahawan melakukan transaksi perniagaan tanpa perlu ke luar negara. – UTUSAN










