PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mencapai matlamat untuk memasang sebanyak 1.8 juta unit meter pintar dalam usahanya membantu inisiatif kerajaan menambah baik perkhidmatan kepada pengguna.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sasaran tersebut berjaya dicapai sebelum penghujung 2021 hasil kerjasama pengguna dan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Suruhanjaya Tenaga (ST), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Kejayaan ini membolehkan TNB mendukung usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna melalui penyediaan akses, ketelusan dan kawalan penggunaan tenaga lebih baik.
“Kami berterima kasih kepada pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka yang memberikan kerjasama hingga kami berjaya memasang lebih 1.8 juta meter pintar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Baharin, pemasangan meter pintar ini merupakan satu daripada inisiatif Grid Masa Depan yang mana TNB perlu membuat pelaburan semula sejumlah RM9 bilion hingga RM10 bilion setiap tahun bagi memodenkan Grid Nasional.
“Grid Masa Depan mengadaptasi teknologi pintar, automatik dan digital bagi memastikan kecekapan, keboleharapan dan kelestarian yang maksimum di samping menyokong kelestarian tenaga masa depan.
“Kini, semakin ramai pengguna berminat memperkasa diri dalam memantau dan mengurus penggunaan tenaga dan mengurangkan jejak karbon berikutan bertambahnya kesedaran bijak tenaga dan memelihara persekitaran alam sekitar.
“Menerusi meter pintar serta gabungan portal dan aplikasi myTNB, pengguna boleh memantau corak penggunaan dalam Ringgit Malaysia atau kilowatt-jam (kWj), melihat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil, serta impak penggunaan tenaga ke atas alam sekitar,” ujarnya.
TNB mula memasang meter pintar sejak empat tahun lalu di Melaka dan menurut Bahrin, pemasangannya akan diperluaskan lagi di Semenanjung secara berperingkat agar 9.1 juta pelanggannya akan mendapat manfaat meter pintar menjelang 2026. – UTUSAN










