Penganalisis mengurangkan ramalan pendapatan untuk Supermax

Pendapatan Supermax dijangka menurun 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis menurun ramalan mereka mengenai pendapatan Supermax Corp Berhad (Supermax) selaras dengan harga jualan purata (ASP) sarung tangan yang lebih rendah.

Penganalisis TA Securities, Tan Kong Jin berkata, keuntungan bersih Supermax bagi separuh pertama berakhir 31 Disember 2021 (S1TK22) adalah di bawah jangkaan kerana ia banyak dipengaruhi oleh perintah tahan pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) serta pembekuan pesanan daripada kerajaan Kanada.

“Kami mengurangkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 secara purata sebanyak 34.5 peratus selepas mengurangkan jumlah jualan dan andaian ASP masing-masing sebanyak 25.4 peratus dan 2.4 peratus.

“Kami percaya Supermax memerlukan lebih banyak masa untuk memenuhi standard keadaan hidup dan pekerja Pertubuhan Buruh Antarabangsa untuk menyelesaikan isu WRO itu,” katanya dalam satu nota kajian.

Ujarnya, Supermax telah melakukan beberapa usaha seperti mengembangkan pelan pemulihannya dan melibatkan firma perunding antarabangsa.

Kong Jin percaya, Kumpulan itu akan memperlahankan rancangan pengembangannya berikutan keadaan lebihan bekalan sekarang.

Kapasiti pengeluaran semasa Supermax berjumlah kira-kira 26.2 bilion. Syarikat itu sedang membina lima kilang pembuatan sarung tangan (dengan kapasiti tahunan sebanyak 22.25 bilion sarung tangan) dengan serentak dan dijadualkan untuk siap secara progresif.

“Berikutan semakan kami tentang pendapatan, kami turut mengurangkan harga sasaran (TP) kami kepada 77 sen sesaham berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 tidak berubah pada 14 kali ganda,” katanya.

Supermax pada Selasa telah mengumumkan keuntungan bersihnya untuk suku kedua berakhir 31 Disember 2021 turun 95.48 peratus kepada RM47.84 juta daripada RM1.06 bilion untuk suku kedua tahun kewangan 2021.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2022, keuntungan Kumpulan turut susut 62.88 peratus kepada RM686.37 juta daripada RM1.85 bilion setahun lalu.

Sementara itu, dalam nota kajian yang berasingan, Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, walaupun pendapatan Supermax pada separuh pertama tahun kewangan 2022 seperti yang dijangkakan, namun suku berikutnya pendapatan Kumpulan itu dijangka terjejas oleh potensi kehilangan hasil daripada CBP WRO AS yang menyumbang kepada jualan sebanyak 20 peratus, ASP dinormalkan lebih cepat daripada jangkaan dan kesan Cukai Makmur pada TK22.

“Kami menurunkan anggaran keuntungan bersih TK22 kami sebanyak 33 peratus selepas mengambil kira pemotongan penggunaan kepada 68 peratus daripada 90 peratus dan pengurangan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 35 peratus daripada 39 peratus.

“Kami juga menurunkan anggaran keuntungan bersih TK23 sebanyak 33 peratus selepas mengambil kira ASP yang lebih rendah sebanyak AS$25 (RM104.53) daripada AS$27 (RM113.00) setiap 1,000 keping, margin EBITDA sebanyak 18 peratus daripada 19 peratus dan kadar penggunaan sebanyak 68 peratus daripada 74 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN