Nestlé mencatat pertumbuhan perolehan kepada RM5.7 bilion

Nestlé catat prestasi kukuh 

ANTARA produk dikeluarkan oleh Nestle (Malaysia) Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Berhad mencatatkan prestasi kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan pertumbuhan perolehan sebanyak 5.9 peratus kepada RM5.7 bilion, dipacu pertumbuhan positif dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) teras Kumpulan bagi pasaran domestik dan eksport.

Kumpulan turut mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) lebih tinggi berjumlah RM751.8 juta tahun lalu, meningkat 3.7 peratus berbanding tempoh sama 2020, manakala untung selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada RM569.8 juta.

Ia terutamanya disokong oleh jualan lebih tinggi yang dicapai dan pengurangan perbelanjaan pemasaran yang dihakis sedikit oleh harga komoditi lebih tinggi dan juga perbelanjaan besar berkaitan Covid-19 berjumlah kira-kira RM93 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pihaknya terus memastikan kakitangan dan perniagaan yang selamat, mengekalkan kesinambungan operasi dan memenuhi permintaan kukuh bagi jenama-jenama Nestle, selain menyesuaikan tawaran untuk memenuhi permintaan dan jangkaan rakyat Malaysia yang kian berubah.

“Kami sentiasa berusaha untuk menjamin keselamatan kakitangan dan kesinambungan bekalan dalam tahun yang menyaksikan gangguan berkaitan Covid-19 dialami secara berterusan. Usaha gigih pasukan kami membolehkan Kumpulan mencatat satu lagi suku tahun pertumbuhan mantap walaupun mengalami gangguan operasi akibat banjir luar biasa yang melanda pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kumpulan mencatatkan PBT dan PAT masing-masing RM146.8 juta dan RM112.1 juta pada suku keempat 2021, lebih rendah sedikit berbanding suku sama 2020.

Penyusutan itu kesan harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 dan juga kos ditanggung akibat banjir, termasuk bantuan kewangan kepada kakitangan yang terjejas, kos pembaikan dan hapus kira kenderaan, aset perdagangan yang rosak dan sumbangan kepada komuniti mangsa banjir di sekitar Lembah Klang.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak RM1.02 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, iaitu 10 sen lebih tinggi daripada dividen interim pada 2020.

Menurut Juan, prestasi 2021 mencerminkan kesesuaian strategi Kumpulan dalam konteks pelbagai cabaran yang dihadapi termasuk memastikan bekalan stabil produk berkualiti yang memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat Malaysia.

“Dalam tempoh mendatang, kami komited untuk terus menghasilkan produk bermutu tinggi, lazat dan berkhasiat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.

“Tidak dinafikan tahun mendatang penuh dengan cabaran, termasuk kenaikan harga makanan dan komoditi, yang dalam sesetengah keadaan, boleh mengakibatkan peningkatan harga,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN