Hospitality 360 umumkan pelancaran menara Kuantan 188

Menara Kuantan 188 dilancar

KUANTAN 188 menjadi menara kedua tertinggi di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hospitality 360, cabang hospitaliti MAA Group Berhad, mengumumkan pelancaran menara Kuantan 188, kelmarin.

Dengan ketinggian 188 meter dan terletak di tengah-tengah bandar, Kuantan 188 muncul menara kedua tertinggi di Malaysia.

Menurut kenyataan, penduduk tempatan dan pelancong kini boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi Kuantan 188 melawat menara ikonik ini dengan satu-satunya pemandangan 360 darjah di Kuantan.

Mereka boleh menikmati pemandangan panoramik bandar Kuantan dan Sungai Kuantan, manakala penggemar adrenalin boleh menikmati aktiviti lasak seperti ‘Sky Walk’, ‘Drop Zone’ dan ‘Anthena Climb’ sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101, jelas kenyataan itu.

Pada majlis pelancaran itu, Kuantan 188 turut memperkenalkan logo baharunya dan menerima pensijilan sebagai ahli rasmi  World Federation of Great Towers.

Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara J. P.; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360, Datuk Indera Omar Naresh Mohan.

“Rakyat Malaysia dan rakyat Pahang bertuah kerana memiliki menara kedua tertinggi di negara kita dengan pemandangan yang menakjubkan.

“Saya percaya pelancaran hari ini akan memberi nafas baharu dan suntikan semangat mengujakan kepada pengurusan Kuantan 188 untuk memajukan lagi menara ini kepada mata dunia khususnya dalam menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara melawat Kuantan 188 dan Pahang,” kata Santhara pada majlis tersebut.

Kuantan 188 merupakan mercu tanda strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama negeri Pahang.

Kuantan 188 adalah sebahagian daripada siri pembangunan untuk menambah baik Kuantan Waterfront, aset utama dan warisan budaya yang akan meningkatkan tarikan pelancong bandar di kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN