KTM DUKE 790 adalah jentera yang dihasilkan dari Austria

KTM DUKE 790 – Definisi jentera ekstrem

KTM DUKE 790 merupakan motosikal berkonsep motard.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua pencinta dua roda yang menjadikan kelajuan sebagai faktor utama keseronokan menunggang. Tidak semua juga pencinta dua roda yang gemar masuk ke dalam estet-estet, hutan atau bukit bukau untuk melompat dan beraksi lasak. Namun, tidak kurang pula yang menginginkan kedua-dua ‘dunia’ tapi cukup sekadar merasai sedikit pengalaman kedua-dua pengalaman kategori motosikal ini.

Maka, penampilan artikel ini adalah untuk mereka yang tergolong dalam kategori berkenaan. KTM DUKE 790 adalah jentera yang dihasilkan dari Austria, yang diperingkat awalnya mula dikenali sebagai pengeluar motosikal off road atau scrambler. Namun, KTM kini turut menjadi rakan niaga pengeluar motosikal terbesar India (Bajaj Auto International Holdings). KTM juga dikenali sebagai satu daripada jenama hebat dalam perlumbaan motosikal dunia iaitu MOTOGP.

Peminat-peminat KTM tempatan sangat menyokong kemasukan jenama ini yang sehingga kini, agak berada dalam kelompok penunggang motosikal yang unik. Tidak terlalu ‘kemaruk’ pada kelajuan, dan tidak juga terlalu ekstrem dalam aktiviti motosikal lasak. Untuk paparan kali ini, kami memilih KTM DUKE 790 kerana ia  motosikal dalam kelas ‘pertengahan’, daripada segi prestasi enjin dan penampilan kosmetik.

KTM DUKE 790 menggunakan jenis tayar berbeza.

PENAMPILAN JENTERA

Secara umumnya, KTM DUKE 790  dalam kelas motosikal Naked atau Street. Namun begitu, ia merupakan motosikal berkonsep motard, iaitu motosikal off road yang dipasang tayar jalan raya. Kehidupan KTM DUKE di Malaysia bermula apabila diperkenalkan dengan nama DUKE 690 pada 2012, dan seterusnya mendapat perubahan dari segi fizikal dan dalaman jentera pada 2015. Ketika ini, DUKE 690 hanya satu silinder dan mula mendapat tempat di hati peminat-peminat motosikal tempatan apabila kebolehan jentera ini mengambil selekoh-selekoh tajam sehebat sebuah motosikal sportbike dari Jepun.

Pada 2018, tiba-tiba peminat KTM dikejutkan dengan kemunculan model ini dipertingkatkan dengan 100cc lebih daripada model sedia ada, dan penambahan satu lagi silinder pada kebuk enjinnya.  Mengapakah perubahan ini dilakukan? Menurut KTM, mereka kini mahukan peminat-peminat mereka mempunyai sebuah jentera yang sama tahap prestasi dengan jentera-jentera motosikal kelas pertengahan (bawah 1,000cc). Kalau DUKE 690 dulu, diketahui mempunyai kuasa tujahan yang tinggi namun agak ketinggalan dalam kategori kelajuan atau top speed. Kini, dengan DUKE 790, penunggangnya bakal mempunyai kebolehan untuk menyerlah di kedua-dua faktor utama dalam kepuasan penunggangan.

DUKE 790 masih lagi mengekalkan rupa bentuk street atau motard yang begitu ikonik, serta sistem suspensi berjenama WP yang terbukti hebat dalam pengambilan selekoh. Penunggangan kelajuan lebih tinggi dengan penambahan 100cc lagi serta beroperasi dengan dua silinder turut membolehkan model ini dikenali sebagai The Scalpel iaitu pisau pembedahan. Ini berdasarkan kebolehan pisau pembedahan yang mampu ‘memotong’ secara tepat dan jitu, dibayangkan pada kebolehan DUKE 790 mengambil selekoh dengan teguh dan tepat serta dengan kelajuan optimum.

Tayar DUKE 790 kali ini berbeza daripada segi jenamanya. Kalau model-model kelas pertengahan daripada KTM ini seringkali dipasang tayar berjenama Pirelli, namun kali ini tayar Michelin digunakan. Saya agak kurang bersetuju dalam pemilihan tayar standard KTM kali ini namun, inilah hakikat yang terjadi. Mungkin atas faktor kos, KTM tidak lagi menggunakan tayar yang sudah terbukti kebolehannya.

Ekzos standard KTM DUKE 790 juga agak unik dari segi penampilannya dan agak berlainan daripada model-model yang selalunya. Penyerap bunyi (muffler) yang agak panjang dan sedikit mendongak ke atas di bahagian corongnya agak tidak mampu diketepikan daripada menjadi tumpuan mata.

KTM DUKE 790 dipertingkat dengan menggunakan enjin dua silinder.

PENUNGGANGAN

Walau terdapat beberapa perubahan, DUKE 790 tetap memberi kepuasan penunggangan kepada pemiliknya. Masakan tidak, penunggangan dalam bandar, sama ada merentasi kesesakan lalu lintas atau permukaan jalan raya yang bertampal-tampal dan berbonjol-bonjol, tidak langsung mendatangkan masalah apabila suspensi WP, mampu menyerapnya. Begitupun, jangan terlalu mengharapkan sehingga tidak merasai bonjolan tersebut, ia masih terasa kerana suspensi hadapan adalah jenis UPSIDE DOWN sememangnya sedikit keras untuk membolehkan ia berprestasi ketika dalam pengambilan selekoh.

Kepuasan kedua, apabila anda mula memasuki lebuh raya, dan timbul keperluan untuk memulas pendikit anda ke tahap maksimum. Anda akan dapati tujahan, kelajuan tertingginya sama hebat dengan mana-mana sportbike dan hanya terhad kepada kebolehan anda ‘menahan hentakan’ angin daripada hadapan kerana DUKE 790  tidak didatangkan dengan skrin pelindung angin.

DUKE 790 didatangkan dengan teknologi-teknologi terkini sebuah motosikal hebat untuk dimanfaatkan oleh penunggangnya:

Ride-by-wireThrottle (pendikit) DUKE ini tidak menggunakan kabel secara konvensional terus ke “throttle body”, namun ke sistem kawalan elektronik dan membolehkan penunggangan diselaraskan mengikut keadaan/cuaca/permukaan jalan. Inilah MODE ENJIN yang sering dilaung-laungkan oleh pemilik motosikal superbikes selama ini.

Kawalan Cengkaman (Traction Control) boleh laras – membolehkan penunggangnya memilih tujahan kuasa atau mod penyampaian kuasa mengikut keperluan dan kehendak. Juga terdapat mod pengesan sudut condong motosikal. Mod ini mengelakkan kesan tindakan sebarang pemulasan kuasa pendikit ketika motor anda dalam keadaan condong membelok selekoh. Tindakan tujahan kuasa hanya akan bermula apabila sensor mengesan motosikal anda sudah berada dalam keadaan normal/menegak.

Paparan meter digital jenis TFT berwarna – membolehkan anda menggabungkan aplikasi telefon pintar dengan hujung jari anda.

Damper handel – sebagai standard untuk penguasaan pengendalian yang lebih baik.

Quick Shifter – penukaran gear seperti motosikal perlumbaan. Kebolehan menukar gear tanpa perlu menutup pendikit dan menarik tuas klac.

penampilan ekzos KTM DUKE 790 yang agak unik, berlainan daripada model-model lain.

KESIMPULAN

KTM DUKE 790 ini bagi saya adalah sebuah motosikal yang sempurna. Ini saya padankan dengan keperluan seorang penunggang dalam keadaan kehidupan di bumi nyata ini dan bukan dunia fantasi. Sesuatu motosikal selalunya dihuraikan kebolehannya dalam tiga fakta: prestasi penunggangan, prestasi enjin dan rupa bentuk kosmetik

Untuk prestasi penunggangan dan enjin, ternyata menepati keperluan setiap penunggang dalam setiap keadaan. Dari segi rupa bentuk kosmetik,  mungkin agak diperdebatkan atas dasar selera masing-masing.

Sekilas fakta lain yang perlu juga anda tahu, jentera KTM yang dipasarkan dalam negara kita dahulunya dipasang di India (oleh BAJAJ). Walau bagaimanapun, model DUKE 790 ini dipasang di Filipina, kilang terbaharu yang dibina KTM untuk membolehkan pemasaran ke Asia Tenggara lebih efisien.

Kesimpulannya, KTM DUKE 790 sesuai digunakan pada setiap hari, sama ada untuk pergi dan balik kerja atau untuk penunggangan jarak jauh. Hujah saya ini turut dibantu dengan rupa bentuk pelana duduknya yang agak selesa dan besar sama ada untuk penunggang atau pembonceng. Seperti yang kerap saya ulang dalam penulisan kali ini, prestasi penunggangan ketika ‘angin gila’ saya datang, tidak mengecewakan langsung, walau pun saya berada atas jalan-jalan kampung, lebuh raya, mahupun dalam litar antarabangsa sepang! — UTUSAN

SPESIFIKASI

JENIS ENJIN: 2-silinder, 4-injap, DOHC, parallel twin

SESARAN: 799cc

GEREK x LEJANG: 88mm x 65.7mm

KUASA: 77 kW (105 hp) @ 9000 RPM

 

TORK: 87 Nm @ 8000 RPM

NISBAH MAMPATAN: 12.7:1

PENGHIDUP: Elektrik

TRANSMISI: 6-kelajuan

 

SUSPENSI: WP-USD ø 43 mm (depan); Penyerap hentak WP (belakang)

BREK DEPAN: kaliper 4 piston, brek cakera 300mm (depan); kaliper 2 piston, brek cakera 240mm (belakang)

ABS: Bosch 9.1 MP (termasuk selekoh ABS dan Supermoto ABS)

RIM: aluminium tuang 3.5 x 17 inci (depan); 5.5 x 17 inci (belakang)

 

TAYAR: 120/70 ZR 17 (depan); 180/55 ZR 17 (belakang)

JARAK RODA: 1,475mm ± 15mm

JARAK KELEGAAN TANAH: 186mm

TINGGI PELANA: 825mm (standard)

SAIZ TANGKI MINYAK: 14 liter

BERAT: 174 kg — UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×