Kadar pengangguran lebih rendah, guna tenaga meningkat - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran lebih rendah, guna tenaga meningkat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga buruh semakin baik pada Disember 2021, mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 penganggur manakala guna tenaga terus meningkat, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pandemik Covid-19 yang melanda ekonomi global bagi tahun kedua berturut-turut telah menghalang pemulihan pasaran buruh secara penuh dan seimbang.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, pasaran buruh Malaysia kekal dalam situasi yang mencabar namun menjelang akhir tahun 2021, kebanyakan negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi seperti biasa, justeru mendorong kedudukan tenaga buruh untuk pulih secara sederhana.

“Hal ini telah memacu guna tenaga untuk terus mengalami pertumbuhan yang lebih baik pada Disember 2021 sementara pengangguran terus menurun.

“Pada Disember 2021, penduduk bekerja terus meningkat, dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang (November 2021: 15.61 juta orang). Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1 peratus (November 2021:66 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohd. Uzir memaklumkan, bilangan penganggur terus menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 687,600 orang berbanding 694,400 orang pada November, merekodkan kadar pengangguran Disember yang lebih rendah pada 4.2 peratus (November 2021: 4.3 peratus).

Justeru katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat kepada 69 peratus (November 2021: 68.9 peratus), iaitu KPTB tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020, dengan bilangan tenaga buruh pada Disember 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.34 juta orang (November 2021: 16.30 juta orang).

“Situasi ini memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh, sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan.

“Dari segi sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan kekal tinggi bagi bulan keenam terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.

“Sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif bagi lima bulan berturut-turut manakala guna tenaga dalam sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian terus menurun sejak Ogos 2020,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Disember 2021, beliau berkata, mengikut kategori pengangguran, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur.

“Kumpulan ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 576,500 orang berbanding 581,800 orang pada November 2021. Penganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 55.9 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 7.6 peratus.

“Bagi mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia yang dikategorikan sebagai penganggur tidak aktif, merekodkan penurunan sebanyak 1.3 peratus kepada 111,100 orang berbanding 112,600 orang pada bulan sebelumnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN