PETALING JAYA: Kediaman terbaharu TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties) di Bandar Enstek, Pristine 3, telah mencatatkan kadar pengambilan sebanyak 60 peratus selepas seminggu ia dilancarkan.
TH Properties telah melancarkan Pristine 3, sebuah projek rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM20.26 juta.
Pembangunan yang terletak di pinggir KLIA itu adalah salah satu pembangunan perumahan kontemporari terbaharu TH Properties yang dibina di atas tanah pegangan bebas di Bandar Enstek oleh anak syarikat milik penuhnya, THP Enstek Development Sdn. Bhd..
Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties, Azman Ibrahim berkata, sambutan positif dan minat berterusan yang ditunjukkan oleh pembeli rumah terhadap Pristine 3 mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan terhadap jenama TH Properties.
“Sama seperti sambutan pasaran yang baik untuk Pristine 3, Pristine Fasa 1 dan Fasa 2 yang masing-masing dilancarkan pada Oktober 2017 dan Julai 2018 juga telah menerima permintaan yang menggalakkan dan telah dijual sepenuhnya.
“Sejak pelancaran Sabtu lalu, Pristine 3 telah menerima kadar pengambilan sebanyak 60 peratus, menjadikan nilai jualan berjumlah RM12.23 juta.
“Kami harap minat positif daripada pembeli rumah akan terus berkembang memandangkan Pristine 3 sangat sesuai untuk keluarga yang sedang berkembang dan pemburu hartanah yang mengimpikan tempat terpencil dan tenang, jauh dari hiruk-pikuk bandar.
“Dengan kejayaan Pristine 3 ini, kami sedang bersiap sedia untuk melancarkan Pristine 4 tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Azman percaya pembeli rumah tertarik dengan Pristine 3 kerana reka bentuknya yang dirancang dengan baik yang menggabungkan landskap berinspirasikan alam semula jadi dan ciri seni bina kontemporari.
Selaras dengan moto Kumpulan iaitu Building Beyond Buildings, Pristine 3 dibangunkan untuk menjadi inovatif dan mampu milik bagi memenuhi keperluan pembeli.
Selain itu, Kumpulan juga mempunyai perancangan untuk melancarkan beberapa projek lain pada tahun ini.
Projek kediaman dengan GDV RM28.68 juta, Cenderawasih 3 Fasa 1, akan dilancarkan pada Mei ini. Pada suku ketiga tahun ini pula, TH Properties merancang untuk melancarkan projek kediaman di Bandar Warisan Puteri 2.
“Dengan kebangkitan semula sektor hartanah dan ekonomi secara keseluruhan, kami percaya produk seterusnya juga akan mendapat sambutan yang positif.
“Tahun ini akan menjadi tahun yang sibuk bagi kami. Walaupun kami sedang berkembang, tetapi keperluan dan permintaan pelanggan kekal sebagai satu keutamaan kami.
“Kami sangat berhati-hati dalam mereka bentuk produk kami supaya pembeli dapat memanfaatkan keselesaan dan keselamatan yang ditawarkan oleh setiap rumah kami,” katanya. – UTUSAN










