Jual 15,000 batang aiskrim sebulan - Utusan Malaysia

Jual 15,000 batang aiskrim sebulan

NUR SYAZANA RANI dan suami, Mohd. Asmadi Saad menunjukkan pelbagai aiskrim yang mereka hasilkan di Arau, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH bersara daripada tentera, Mohd. Asmadi Saad, 49, bersama isterinya, Nur Syazana Rani, 31, telah mencuba pelbagai perniagaan bagi mencari sumber pendapatan.

Percubaan mereka menjalankan perniagaan aiskrim kayu pada 2015 akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila menerima sambutan cukup memberangsangkan.

Bermula dengan modal sebanyak RM20,000 hasil wang simpanan, mereka menubuhkan Cahaya Syazana Enterprise sete­rusnya membeli mesin dan peralatan membuat ais krim.

Nur Syazana berkata, pada peringkat awal, mereka tidak mengeluarkan produk sendiri sebaliknya membeli aiskrim pihak lain dan menjualnya.

Kata suri rumah itu, apabila melihat potensi yang ada dalam perniagaan tersebut, mereka mu­la menyertai kursus-kursus yang disediakan oleh agensi kerajaan berkaitan aiskrim bagi memperluaskan ilmu dalam bidang tersebut.

“Apabila kami pergi kursus, kami akan pulang dan buat pembangunan dan penyelidikan (R&D) sendiri bagi menghasilkan resepi sendiri yang unik dan berbeza daripada yang lain.

“Pada mulanya, kami menjual ais krim jenis soft serve (ais krim lembut) dan selepas itu kami mencuba aiskrim kayu yang ter­nyata mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan.

“Ini kerana, aiskrim digemari segenap lapisan masyarakat tidak kira umur atau latar belakang,” katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan aiskrimnya di Kampung Kubang Siput, Mukim Kurong Anai, Arau, Perlis, baru-baru ini.

MOHD. Asmadi Saad mengalihkan aiskrim perisa jambu batu yang baru dibuat ke dalam bekas sebelum dimasukkan ke peti sejuk beku.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, mereka mampu untuk mengeluarkan antara 10,000 hingga 15,000 batang aiskrim kayu setiap bulan.

Menurut Nur Syazana, mereka sentiasa menghasilkan pelbagai perisa baharu dan kini sudah mempunyai lebih daripada 11 perisa termasuklah vanila, milo, strawberi, jagung, asam boi, keladi, jambu batu, vanila celup, anggur, kacang merah dan tembikai.

“Buat masa ini, kami ada meletakkan peti ais kami di enam buah kedai di sekitar Perlis. Harga aiskrim ini bermula daripada RM1.20 hingga RM3.20. Selain itu, kami juga ada menyediakan aiskrim kayu perisa harumanis semasa musim buah tersebut antara Mac hingga Jun.

“Sebelum ini, produk kami turut dipasarkan di Kedah dan Pulau Pinang melalui ejen, namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19 ia terhenti,” ujarnya.

Nur Syazana yang merupakan usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Perlis berkata, mereka juga menerima bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Pertanian.

PELBAGAI jenis dan perisa aiskrim kayu dihasilkan oleh Cahaya Syazana Enterprise.
AIS KRIM perisa jambu batu yang dihasilkan oleh Cahaya Syazana Enterprise.

Katanya, mereka menyasarkan untuk memasuki pasaran di sekitar pasar raya di negeri ini, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

“Buat masa ini, kami dalam proses mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Apabila mendapat pensijilan ini, adalah lebih mudah untuk kami memasarkan produk ini ke pasar raya di sekitar zon utara dan memasuki lebih banyak kedai,” jelas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN