TOKYO: Harga minyak meningkat hampir dua peratus pada Isnin, berlegar menghampiri paras tertinggi tujuh tahun seperti pada sesi sebelumnya, di tengah-tengah kebimbangan bekalan serta ketegangan geopolitik di Eropah Timur dan Asia Barat.
Minyak mentah Brent naik AS$1.07 (RM4.47) atau 1.9 peratus kepada AS$91.10 (RM380.84) setong selepas melonjak 69 sen pada Jumaat lepas.
Kontrak Brent paling aktif untuk penghantaran April didagangkan pada AS$89.69 (RM375.62), naik AS$1.17 atau 1.3 peratus.
Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) naik 99 sen atau 1.1 peratus kepada AS$87.81 (RM367.75) setong, setelah naik 21 sen pada Jumaat lalu.
Kedua-dua penanda aras merekodkan tertinggi sejak Oktober 2014 Jumaat lepas, masing-masing AS$91.70 (RM384.04) dan AS$88.84 (RM372.06), serta kenaikan mingguan keenam berturut-turut.
Penganalisis menjangkakan kenaikan itu hanya permulaan sebelum harga bahan bakar itu terus mengukuh disebabkan pelbagai faktor global termasuk bekalan dan ketegangan politik di beberapa negara.
Penganalisis di Fujitomi Securities Co Ltd., Toshitaka Tazawa berkata, kebimbangan kekurangan bekalan global ditambah pula dengan risiko geopolitik yang berterusan telah menyebabkan pasaran memulakan minggu ini dengan kukuh.
“Dengan jangkaan bahawa Pengeluar utama dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) akan mengekalkan dasar sedia ada peningkatan pengeluaran secara beransur-ansur, harga minyak berkemungkinan kekal pada sentimen kenaikan harga minggu ini,” katanya sambil meramalkan Brent kekal melebihi AS$90 (RM376.92) setong dan WTI menuju ke arah AS$90.
OPEC+ telah meningkatkan sasaran pengeluaran mereka setiap bulan sejak Ogos sebanyak 400,000 tong sehari sambil melepaskan rekod pemotongan pengeluaran yang dibuat pada 2020.
Tetapi mereka telah gagal untuk mencapai sasaran pengeluaran kerana beberapa ahli telah bergelut dengan kekangan kapasiti.
Dalam mesyuaratnya pada 2 Feb, OPEC+ berkemungkinan kekal dengan peningkatan yang dirancang dalam sasaran pengeluaran minyaknya untuk Mac, berikutan permintaan semakin pulih walaupun terdapat risiko penurunan akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan kadar faedah. Ketegangan antara Rusia dan Barat juga menyokong harga minyak mentah.
Rusia, pengeluar minyak kedua terbesar di dunia dan Barat telah bertelagah mengenai Ukraine, sekali gus menimbulkan kebimbangan gangguan bekalan tenaga ke Eropah.
Pasaran juga dalam keadaan berjaga-jaga terhadap situasi Timur Tengah selepas serangan ke atas Emiriah Arab Bersatu oleh kumpulan Houthi Yaman. – AGENSI










