KUALA LUMPUR: Pelakon Wak Doyok dan Fizo Omar menjadi duta broker global OctaFX.
Menurut syarikat itu, kedua-dua pelakon berkenaan merancang untuk melancarkan beberapa projek kerjasama khusus berkaitan dengan pelaburan sepanjang tahun ini.
Jelasnya, sepanjang kolaborasi tersebut, Wak Doyok dan Fizo akan berkongsi cara mereka menjadikan pelaburan sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan mempamerkan cara untuk melabur demi masa hadapan.
“Bersama-sama dengan broker, mereka akan melancarkan beberapa projek bersama yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Fizo percaya betapa mudah seseorang itu hilang fokus terhadap kestabilan kewangan dalam kesibukan harian.
“Menjadi seorang pelakon sememangnya menarik dan mencabar. Saya hidup dalam tempo kehidupan yang pantas, membuat pelbagai projek secara serentak, banyak mengembara dan cuba meluangkan masa yang cukup untuk keluarga saya. Dalam kesibukan ini, penting untuk saya terus menjaga dan menggandakan modal hasil titik peluh saya,” kata beliau.
Wak Doyok pula berkata, dia amat amat meminati kerjaya dalam bidang fesyen, pada masa yang sama berasa lebih terjamin apabila mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Jangan memandang rendah kepentingan melabur dalam dunia moden sekarang. Anda tidak boleh memanfaatkan sepenuhnya kewangan anda melainkan anda melabur. Saya berharap projek usahasama kami dengan OctaFX akan membantu lebih ramai orang untuk belajar menguruskan wang mereka,” katanya.
Menurut OctaFX, sebelum menjadi duta, Fizo dan Wak Doyok telah terlibat dengan syarikat itu sebelum ini dengan Fizo mula melabur dua tahun lalu dan Wak Doyok pula lima tahun lalu.
OctaFX merupakan broker global yang menyediakan perkhidmatan perdagangan dalam talian di seluruh dunia sejak 2011. Ia menawarkan pengalaman perdagangan yang terkini kepada lebih tujuh juta akaun perdagangan di seluruh dunia. – UTUSAN










