JERANTUT: Five Petroleum Malaysia menyasarkan membuka lebih 100 stesen minyak 5Petrol di kawasan luar bandar seluruh negara menjelang 2023 termasuk di Sabah dan Sarawak.
Difahamkan setakat ini, terdapat 41 stesen minyak jenama tersebut telah dibina di Semenanjung dan dijangka dibina di Sabah dan Sarawak penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian itu menyambut baik inisiatif Five Petroleum Malaysia dalam usaha menjadikan kawasan luar bandar sebagai lokasi utama operasi 5Petrol.
Katanya, pihak kementerian berharap syarikat terbabit dapat meningkat dan memperluaskan lagi pembinaan stesen minyak di Sabah dan Sarawak.
“Dengan kemudahan yang disediakan ini, penduduk luar bandar dapat menikmati subsidi minyak daripada kerajaan secara penuh tanpa perlu menanggung kos tambahan seperti kos perjalanan untuk mendapatkan petrol dan diesel.
“Walaupun berada di luar bandar dan pedalaman, setiap penduduk berhak merasai kesenangan dan kemudahan yang baik,” katanya ketika merasmikan pembukaan stesen minyak 5Petrol Batu Balai di sini, semalam.
Yang hadir sama, Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia, Datuk Seri Dr. King Lim Chub Fui; Pengerusi Five Petroleum Malaysia, Datuk Juhari Abdul Ghani; Pengarah Seng Group of Companies, Datuk Wong Kam Yong dan Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Jerantut, Abdul Mubin Ahmad.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, pembinaan stesen minyak itu akan turut menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk luar bandar.
“Kerajaan sentiasa peka terhadap taraf hidup rakyat di mana dengan penambahan stesen minyak baharu di kawasan pedalaman dapat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan khususnya buat penduduk tempatan.
“Mungkin dalam masa sama, 5Petrol dapat membuka peluang kepada penduduk untuk memasarkan produk hasil keluaran tempatan di stesen minyak mereka sekali gus membantu penduduk menaik taraf ekonomi mereka,” katanya. – UTUSAN










