KUALA LUMPUR: Exzito Global Sdn. Bhd. meluaskan sayap perniagaan ke pasaran Indonesia menerusi jualan kenderaan elektrik (EV) motosikal dengan anggaran pelaburan permulaan sebanyak AS$2 juta (RM8.36 juta).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Rizal Khalid berkata, untuk permulaan sebanyak 1,000 unit motosikal akan dibawa masuk ke sana bagi fasa pertama dengan sasaran keseluruhan sehingga 10,000 unit motosikal elektrik sepanjang tahun ini.
“Kita bawa tiga model motosikal untuk pasaran di Indonesia dan sasaran kita bukan hanya kepada pengguna semata-mata, malah syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran.
“Apa yang penting ialah pembangunan dan penyediaan infrastruktur asas. Kita juga akan bekerjasama dengan stesen minyak bagi membangunkan kemudahan untuk mengecas kenderaan elektrik untuk kemudahan pengguna,” katanya pada Majlis Memorandum Perjanjian antara MCLS Synergy Co. Ltd. (Thada) dan Exzito Global Sdn. Bhd. di sini.
Pada majlis tersebut, Mohd. Rizal menandatangani perjanjian mewakili syarikatnya manakala, MCLS Synergy Co. Ltd. (Thada) diwakili oleh Pengarah Urusannya, Syaiful Hazreen Hasan Nodin serta disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Exzito Global Sdn. Bhd., Norhaizat Zainal Abidin dan Pengarah Eksekutif MCLS Synergy Co. Ltd. (Thada), Lee Wei Chung.
Majlis itu dihadiri oleh Pengarah Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Koyakutty; Datuk Seri Mohd. Amir Mohd. Esa mewakili Dewan Perniagaan dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia serta PT Exzito Nusantara Indonesia dan PT Parolis Bangun Indonesia (PBI), Sahrizal Hasan merangkap wakil Ikatan Saudagar Muslim (ISMI) DKI Jakarta.
Dalam pada itu, Mohd. Rizal berkata, pihaknya komited dalam menembusi pasaran di Indonesia dengan adanya beberapa rakan kongsi tempatan yang berminat dan bersedia memasarkan produk motor elektrik tersebut.
Mengenai perjanjian yang ditandatangani bersama MCLS Synergy iaitu syarikat berasaskan teknologi terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan pemasangan EV, beliau berkata, ia memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu kerjasama mengimport, memasang, memasarkan dan menjual EV di Indonesia, Indochina, Asia Tengah dan Afrika Utara.
Katanya, selain itu, memindahkan proses pemasangan pengetahuan dan teknologi dari Thada (Kemboja), membangunkan kilang pemasaran dan pusat 4S yang terdiri daripada jualan, perkhidmatan, alat ganti dan stesen swap serta meneroka pengaturan komersial yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Justeru dalam memastikan penggunaan mobiliti elektrik yang cepat dan meluas, pelancaran EV baharu di pasaran adalah langkah pertama yang penting. Saya yakin dengan usaha ini, perjanjian ditandatangani ini akan menyampaikan faedah yang dijanjikan,” ujarnya.
Exzito Global adalah kumpulan perniagaan dipelbagaikan dengan aktiviti teras berlandaskan teknologi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pertahanan dan sekuriti, teknologi hijau dan pemasaran konsumer. – UTUSAN










