Dividen Tabung Haji diunjur 3.1 peratus

Dividen Tabung Haji diunjur 3.1 peratus

haji
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengagihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dijangka menyamai prestasi tahun sebelumnya iaitu pada kadar 3.1 peratus.

TH dijadual mengumumkan agihan keuntungan 2021 pada hari ini

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dunia masih mengalami kemerosotan ekonomi pada 2021 yang berlanjutan daripada tahun sebelumnya. Sekali gus turut mempengaruhi prestasi keseluruhan Tabung Haji.

Jelasnya, bagi organisasi seperti TH yang mempunyai pelaburan di sektor-sektor yang terpaksa berehat seperti perhotelan dan pelancongan, serta pengurangan kutipan sewa dari sektor hartanah dan pemberhentian aktiviti pembinaan amat menjejaskan pendapatannya.

“Kos operasi misalnya, seperti gaji dan kebajikan pekerja perlu terus dibayar oleh TH. Ini memberi kesan yang berpanjangan kepada kewangannya. Hampir 18 bulan sehingga ekonomi dibuka semula pada Oktober 2021. TH terpaksa menanggung kerugian operasi tersebut dan inilah yang membantutkan pemulihan keuntungannya.

“Sepanjang tahun lalu juga, masih banyak syarikat yang terus mengalami kemerosotan pendapatan. Ini termasuk industri hartanah, pelancongan dan pengangkutan yang turut menjejaskan pendapatan TH. Namun, TH berjaya menangani pulangan pelaburannya dengan perkembangan positif apabila harga kelapa sawit berada di paras RM5,000 satu tan daripada ladangnya seluas 100,000 hektar.

Pasaran mencabar

“Selain itu, pelaburan TH dalam BIMB Holdings, melalui Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia terus berkembang baik. Namun ia perlu  diimbangi dengan pelaburannya dalam sektor perhotelan, hartanah dan pembinaan yang mencatatkan pulangan suram kerana baru dibenarkan beroperasi pada suku keempat 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Aimi Zulhazmi, pelaburan TH dalam sektor hartanah di luar negara turut menerima nasib yang sama dengan keadaan pasaran mencabar berikutan penularan pandemik di seluruh dunia.

“Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus bermula Julai 2020, ia turut menjejaskan pulangan keuntungan daripada simpanan tetap pada 2021.

“Namun, berdasarkan prestasi TH untuk enam bulan pertama 2021, TH berjaya melabur dalam pasaran modal yang baik. Terutamanya pasaran mata wang yang menyumbangkan 16 peratus kepada pendapatan keseluruhan TH. Ini sedikit sebanyak mengimbangkan pelaburan dalam ekuitinya di dalam negara (10 peratus) dan luar negara (5.0 peratus),” ujarnya.

Justeru, beliau berpendapat, berdasarkan perkembangan semasa TH terutamanya pendapatannya untuk enam bulan pertama tahun 2021 yang sedikit rendah (-1.4 peratus) berbanding 2020. Pembukaan ekonomi negara pada suku keempat yang memberi kesan positif akan mengimbangkan kembali keuntungan TH setanding 2020.

“Pemulihan ekonomi negara bagaimanapun diancam dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron yang meningkatkan kes harian Covid-19. Justeru, TH perlu berhati-hati dalam langkahnya, sesuai dengan tujuan penubuhannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN