BMW 530i dijual pada harga bermula dari RM368,112 sebuah

BMW 530i – Apabila kehendak menjadi kepentingan

BMW 530i kenderaan mewah yang mampu memberikan pakej lengkap diperlukan oleh seorang pemandu. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

https://www.utusan.com.my/?s=dunia+permotoran

JENTERA buatan Jerman ini dijual pada harga bermula dari RM368,112 sebuah. Ya, ia bukan jentera atau kereta untuk golongan marhaen, apatah lagi sekiranya pendapatan bulanan anda di bawah RM5,000. Berpijaklah di bumi yang nyata.

Setelah fakta utama ini anda ketahui, maka marilah kita sama-sama mengagumi jentera yang direka bukan sahaja sebagai sebuah pengangkutan tetapi juga mampu membawa anda ke sebuah alam pemanduan yang begitu menusuk sanubari seorang yang bergelar manusia. Teknologi, kejuruteraan, elektronik dan seni diadunkan dalam satu ‘kubah beroda’. Kuasa, kelajuan, pengendalian dipadankan pula dengan imej dan jati diri.

Bagaimanakah BMW 530i ini mampu memberi pakej lengkap ini kepada si pemandunya?

PENAMPILAN JENTERA

530i ini juga dikenali dengan nama kod G30 atau bagi kebanyakan kita mengkategorikan kereta ini dalam kumpulan BMW 5 series. Model 2021 ini diwar-warkan kepada orang ramai pada penghujung 2021 dan turut dikenali sebagai model yang dipasang di Kulim, Kedah di kilang Inokom. BMW 5 series ini sebenarnya adalah satu daripada pasangan kembar iaitu 530E dan 530i. Model 530E adalah model hibrid dan 530i adalah versi 100 peratus petrol.

Dalam barisan kereta BMW, Siri G30 5 series ini pada saya adalah barisan model yang paling “kacak” berbanding yang lain. Sungguhpun varian ini masih juga terpasang “pagar besi berbentuk buah pinggang” yang dalam Bahasa Inggeris KIDNEY GRILL. Namun rupa yang lebih moden diperolehi dengan lampu hadapan yang lebih merapat mengapit pada jeriji ikonik tersebut, serta lampu belakang mendapat reka bentuk tiga dimensi baharu.  Bumper depan dan belakang juga telah diprofilkan semula, membolehkan 530i ini dilihat dalam bentuk yang baharu, namun masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang dapat dikenalpasti tentang asal usulnya.

Penampilan eksekutif pada bahagian dalaman.

REKAAN DALAMAN

Seperkara yang menarik bagi saya ialah hanya apabila pintu kereta ini terbuka dan anda ternampak logo M terpapar pada bibir bawah ruang masuk. Ia tidak dipaparkan secara jelas pada bahagian belakang kereta seperti kebanyakan versi M SPORT sebelum ini. Mungkin 530i ini mahukan penampilan eksekutif pada bahagian dalamannya, serta luaran yang elegan serta berimej kelas atasan, namun prestasi enjin dan pengendaliannya perlulah selincah sebuah kereta sport sejati.

Kedua-dua bahagian kerusi hadapan masih lagi disertakan pelarasan elektronik, sementara kerusi belakang masih mengekalkan keselesaan seperti model-model terdahulu. Seperti kebanyakan kereta mewah, sistem pendingin boleh dilaras terus dari belakang. Bagi yang baru kali pertama memandu 530i, perkara pertama yang bakal menarik perhatian anda ialah imej imbasan yang tertera pada skrin hadapan. Imej pantulan ini memaparkan kelajuan kereta anda serta amaran tentang had laju yang dibenarkan pada jalan raya yang sedang anda lalui. Begitu juga logo amaran tentand kedudukan kenderaan yang berada di hadapan anda (sama ada ia dalam jarak yang agak dekat berbanding dengan kelajuan masing-masing).

Meter yang dipaparkan adalah jenis TFT, membolehkan pencahayaan yang baik, warna-warna menarik serta informasi lengkap. Ternyata, selain imej pantulan pada skrin hadapan, meter anda turut dapat mengetahui nama jalan yang sedang anda lalui atau setidak-tidaknya kawasan utama di mana anda berada.

ENJIN

Saya bukanlah seorang yang berpengetahuan teknikal tentang enjin, namun jentera empat silinder yang dilengkapi pengecas turbo B48 2.0 liter ini menghasilkan 184 PS daripada 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm antara 1,350 dan 4,000 rpm. Kotak gear automatik lapan kelajuan memastikan `nafsu’ anda untuk memecut selepas lampu hijau akan dipuaskan.

Sungguhpun begitu, penggunaan bahan api oleh 530i ini agak begitu efisien. Satu fakta yang agak menghairankan apabila merasai sendiri kekuasaan pecutan. Fakta rasmi daripada BMW mengatakan bahawa anda mampu mendapat 6.7 liter pada setiap 100km.

Imej pantulan pada skrin hadapan memaparkan kelajuan kenderaan.

PENGENDALIAN

A DRIVER’S CAR bermaksud, kereta yang menepati keperluan dan ketepatan pencirian pemanduan. BMW sememangnya mempunyai imej tersebut. Sistem suspensinya yang walau agak kenyal ketika melalui jalan rata di kelajuan tinggi, namun tetap mampu menyerap hentakan daripada permukaan-permukaan jalan raya yang tidak rata, berlopak, berlubang atau rosak.

Sistem pemanduan elektroniknya yang memastikan anda tidak terlajak memasuki lorong lain dengan menggerakkan stering anda masuk kembali ke tengah lorong secara automatik. Sensor yang berada di kiri kanan cermin pandang sisi turut mempamerkan lampu amaran apabila mengesan kenderaan lain terlalu hampir dengan kereta kesayangan anda ini.

Kebolehan sistem kamera undur serta kemera ruang hadapan ketika parkir sudah tentu tersenarai dalam kebolehan jentera ini. Bantuan-bantuan elektronik yang dibekalkan menjadikan BMW ini begitu lengkap sebagai jentera yang mempunyai pacuan tepat dan jitu.

KESIMPULAN

Banyak sebenarnya yang boleh dihuraikan tentang jentera 5 series ini. Terutamanya dari segi nilai estatik yang agak mewah, ruang duduk yang luas, serta kosmetik luaran dan dalaman yang begitu mempersona serta eksklusif. Namun, cukup sekadar menyebut tiga huruf ikonik tersebut, umum sudah tahu kebolehan, prestasi serta harganya yang cukup untuk membeli sebuah rumah kos sederhana.

Sekiranya anda mampu untuk memilikinya, adalah tidak wajar anda menggunakan seorang pemandu dan hanya bersantai duduk dibelakang. BMW 530i ini mahukan anda sendiri memacunya serta menggenggam stering dengan penuh emosi. Sebuah kereta yang terlalu kerap dijadikan sebagai pemangkin untuk jenama-jenama lain sama ada dari segi teknologi mahupun keseniaanya.  – UTUSAN

 

SPESIFIKASI

Teknologi enjin 16-valve DOHC, direct fuel injection, twin-scroll turbo with variable valve timing
Kapasiti 1,998 cc Kuasa  252 hp pada 5,200 rpm
Susunan enjin 4 selinder selari Tork 350 Nm pada 1,450 rpm
Bahanapi Petrol
Bore x Stroke 82 mm x 94.6 mm Nisbah mampatan 10.2:1

 

Pacuan
Jenis Otomatik konvensional Jenis transmisi  8 kelajuan otomatik dengan Steptronic
Nisbah Gear 8 Pembuat ZF
Jenis Pacuan Pacuan Roda Belakang

 

Prestasi
0-100 km/h 6.2 saat Tahap penggunaan bahan api 5.5 L/100 km (NEDC)
Kelajuan tertinggi 250 km/j Co2 132 g/km

 

Dimensi
Panjang 4,963 mm Pintu 4
Lebar  1,868 mm Tempat duduk 5
Tinggi  1,479 mm Ruang penyimpan 530 liter
Jarak roda 2,975 mm Kapasiti bahan api 68 liter
Berat  1,700 kg Tayar hadapan 245/40R19
Spare Tyre Tayar belakang 275/35R19
Tayar dari kilang pemasangan Michelin Primacy 3, Goodyear Eagle F1 Asymmet

 

Chassis
Jenis  Unibody Pemasangan Malaysia
Suspensi hadapan Double Wishbones Suspensi belakang Multi-link
Roda hadapan 19″ M Double-spoke Style 845 M Alloy Roda belakang 19″ M Double-spoke Style 845 M Alloy
Brek hadapan Ventilated Disc Brek belakang Ventilated Disc
Stering Rack and Pinion (Electric Power Steering)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN