PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 61 peratus untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.
Syarikat amanah patuh syariah swasta terbesar Malaysia itu merekodkan pendapatan RM20.3 juta berbanding RM12.4 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, pendapatan sebelum cukainya turut menokok sebanyak 217 peratus daripada RM954,682 kepada RM3.03 juta.
Kata beliau, sebagai pelopor kaedah hibah dan penyedia hibah terbanyak di Malaysia, hibah menyumbangkan 65 peratus daripada pendapatan syarikat dan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama bagi tahun kewangan yang mendatang.
“Tahun kewangan 2020/2021 adalah tahun yang paling mencabar kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama sejak pandemik Covid-19.
“Ketika suasana tidak menentu itu menjejaskan banyak perniagaan, Wasiyyah telah berjaya melaluinya dengan melaksanakan pelbagai strategi digital yang inovatif,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Ariffin, faktor utama pencapaian tersebut ialah pengenalan akad hibah secara dalam talian pada Mei 2021, dua bulan selepas PKP pertama dilaksanakan.
Kata beliau, kaedah patuh syariah yang inovatif itu membolehkan pemberi dan penerima hibah berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia tanpa perlu bersemuka bagi melaksanakan akad hobah mereka.
“Pengenalan kaedah ini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia memudahkan di samping menghapuskan kebimbangan penyebaran Covid-19 dalam kalangan pelanggannya. 65 peratus pelanggan memilih kaedah ini.
“Pelaksanaan strategi seperti polisi bekerja dari rumah, sistem pembayaran dalam talian yang lebih cekap dan pengenalan pelbagai sistem lain juga menyokong pertumbuhan perniagaan yang drastik bagi tahun kewangan tersebut,” katanya.
Tambah Ariffin, pencapaian tersebut adalah yang terbaik dalam sejarah Wasiyyah sejak ditubuhkan pada 2004 dan ia adalah hasil komitmen tinggi lembaga pengarah, panel syariah, barisan kepimpinan dan kakitangan serta daie Wasiyyah yang agresif melakukan jualan dalam talian.
“Pandemik telah secara signifikan mengubah kelakuan pengguna, struktur ekonomi dan landskap perniagaan di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN










