Wajar benarkan pengeluaran KWSP - Utusan Malaysia

Wajar benarkan pengeluaran KWSP

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar membenarkan rakyat membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mengambil kira keadaan ekonomi isi rumah dalam pasca pandemik, ditambah pula dengan sebilangan besar keluarga yang teruk terjejas akibat situasi banjir yang berlaku kini.

Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, meskipun kerajaan telah memberikan bantuan sehingga RM61,000 kepada keluarga yang rumahnya musnah akibat banjir, namun pastinya nilai tersebut tidak dapat menampung kos pembinaan yang telah meningkat sejak ekonomi dibuka semula.

Jelasnya, kadar inflasi pada November 2021 yang mencecah 3.3 peratus juga memberikan refleksi harga barangan meningkat termasuk bahan binaan seperti pasir, simen, besi dan sebagainya.

“Disebabkan keadaan ini, mangsa banjir sudah tentu perlu mencari lagi tambahan perbelanjaan untuk membina kembali rumah mereka yang musnah.

“Kerajaan perlu meneliti nilai kerosakan harta benda bagi setiap isi rumah dan sekiranya bantuan yang diberikan tidak mencukupi, mereka wajar diberi kebenaran untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP atau membuat pinjaman bank yang dipermudahkan.

“Kita perlu mengambil kira ekonomi isi rumah yang baru sahaja cuba untuk pulih selepas penutupan ekonomi selama beberapa bulan tahun lalu. Dengan bencana banjir yang berlaku, mereka pastinya dalam keadaan terdesak dan segala bentuk bantuan amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, beliau menegaskan, bagi mengembalikan wang sehingga RM109 bilion yang telah dikeluarkan daripada pengeluaran i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini, KWSP perlu merancang strategi baharu yang lebih proaktif.

Katanya, strategi KWSP memberikan dividen kepada semua pencarumnya mungkin perlu dikaji semula untuk meningkatkan semula simpanan terutamanya bagi mereka yang telah mengeluarkan simpanan melalui program-program terdahulu.

“Dividen yg diberikan sekarang tidak mungkin akan dapat menggantikan kembali jumlah yang telah dikeluarkan. Oleh itu, KSWP perlu mempunya model pelaburan baharu iaitu mempelbagaikan pelaburan secara berasingan mengikut jenis pencarum.

“Misalnya, kira-kira 50 peratus atau enam juta pencarum yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dan 74 peratus lagi yang mempunyai simpanan di bawah RM1,000 perlu dibina semula dengan pelaburan yang lebih agresif dan tinggi pulangannya.

“Bagaimanapun, pelabur-pelabur perlu memberikan persetujuan kepada KWSP bahawa pulangan yang lebih tinggi juga mempunyai risiko yang lebih tinggi dan persetujuan ini boleh diberikan secara bertulis kepada KWSP,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN