TNB, UPM pasang sistem solar terbesar IPTA - Utusan Malaysia

TNB, UPM pasang sistem solar terbesar IPTA

Majlis menandatangani perjanjian bekalan tenaga boleh baharu di antara Dr. Mohd. Roslan Sulaiman (dua kiri) dan Megat Jalaluddin Megat Hassan (dua kanan) disaksikan oleh Abdul Razak Jaafar (tengah), baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX), menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui pemasangan sistem solar PV yang meluaskan lagi ciri-ciri kelestarian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), GSPARX akan memasang sistem solar di 16 tapak merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid, bumbung parkir serta projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar Pertama bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan modal insan, sekali gus menjadikan ia projek solar terbesar di IPTA.

Pemasangan sistem solar berkapasiti 16.18MWp itu membolehkan universiti berkenaan menikmati penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta untuk tempoh 25 tahun apabila kerja pemasangan siap pada Julai nanti.

Menurut Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, kerjasama GSPARX-UPM itu adalah antara manifestasi sokongan penuh TNB terhadap agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon, melalui komitmen hala tuju kelestarian TNB ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menjadi sebahagian daripada inisiatif menangani perubahan iklim, ia selaras aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan,” katanya pada majlis menandatangani SARE tersebut di UPM, baru-baru ini.

Perjanjian ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan bagi pihak GSPARX sebagai Pelabur PV Solar Berdaftar dan UPM diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Pemasangan panel solar di UPM itu mampu mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun, bersamaan pembebasan asap 3,187 buah kenderaan setahun atau penyerapan karbon dioksida oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Mohd. Roslan memaklumkan, usaha tersebut mengukuh jalinan kerjasama penyelidikan dan jaringan industri, terutamanya bagi pembangunan modal insan dan pelaksanaan projek sistem Aquavoltaics di Fakulti Kejuruteraan yang merupakan Projek Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar merangkap Eko-Pelancongan yang pertama di dunia.

“Ia seiring dengan hala tuju universiti menerusi Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang menekankan elemen kelestarian penyelidikan dan Inovasi serta pengukuhan jaringan industri dan masyarakat.

“UPM sebagai universiti paling lestari di Malaysia selama 12 tahun berturut turut dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2021 akan terus komited dalam mendukung usaha kelestarian,” ujarnya.

Sehingga kini, GSPARX telah menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), TATI University College (TATIUC), Jabatan Kerja Raya (JKR), Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Sime Darby Properties, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Bandaraya Ipoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN