TNB bersama depani bencana banjir - Utusan Malaysia

TNB bersama depani bencana banjir

SUKARELAWAN TNB Perak menggembleng tenaga membantu bersihkan kediaman mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bencana banjir luar biasa yang melanda sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri baru-baru ini menarik banyak entiti besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut menyumbang kepada rakyat yang terkesan dengan musibah tersebut.

Tidak terkecuali, syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah menghulurkan bantuan bukan sahaja dari segi wang ringgit, malah bantuan kerja pendawaian di rumah terjejas banjir, gerakan sukarelawan dan rebat bil elektrik bagi meringankan beban yang ditanggung.

IR. BAHARIN DIN

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, warga TNB mempamerkan keprihatinan terhadap musibah banjir yang terpaksa diharungi rakyat yang pastinya sedang berusaha memulihkan ekonomi keluarga masing-masing dalam situasi pasca pandemik ini.

Ujarnya, Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP) yang ditubuhkan Jun tahun lalu untuk warga kerja TNB menyumbang bagi meringankan beban mereka yang terkesan susulan pandemik Covid-19, diteruskan kutipannya bagi membantu mangsa banjir pula.

“Pihak Syarikat memperuntukkan RM2 juta sebagai geran padanan maksimum kepada jumlah sumbangan warga kerja kepada tabung berkenaan.

“Ini merupakan tambahan kepada peruntukan kecemasan sebanyak RM40 juta bagi kerja-kerja pemulihan khususnya membaik pulih aset dan infrastruktur bekalan elektrik di lapan negeri yang terjejas banjir,” katanya.

Jelas Baharin, selain membantu mangsa banjir dari segi keperluan asas dan penyaluran bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tindakan utama lain ialah memulihkan pencawang dan aset lain dengan mengujinya bagi memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

Justeru kata beliau, TNB turut menggerakkan 2,000 warga kerjanya di Semenanjung untuk memulihkan bekalan elektrik rumah mangsa banjir, secara tidak langsung bagi memastikan keselamatan rakyat dalam situasi semasa ini.

Baharin memaklumkan, kerja-kerja pemeriksaan itu meliputi pengujian penebatan rintangan dan pembumian serta ujian yang diperlukan di kotak fius agihan serta alatan elektrik berkaitan, untuk memastikan keselamatan pengguna sebelum mereka menghidupkan papan litar utama di premis dan langkah-langkah yang perlu diikuti demi keselamatan seluruh keluarga.

“Setakat 10 Januari lalu, sebanyak 1,112 buah rumah di Lembah Klang dan Pahang telah diperiksa pendawaian elektriknya dan daripada jumlah tersebut, 94 peratus atau 1,046 buah rumah telah disahkan selamat,” ujarnya.

TNB juga terus membuktikan rasa kebersamaannya dengan rakyat apabila dengan segera membuat keputusan untuk memberi rebat 100 peratus secara one-off dengan nilai RM9 juta bagi bil elektrik bulan Disember 2021 kepada 72,000 pelanggan domestik yang terjejas akibat banjir.

Menurut Baharin, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekali gus ia adalah persetujuan bersama kerajaan bagi menyantuni mangsa banjir.

“Warga kerja TNB juga adalah ahli komuniti dalam pelbagai lapisan masyarakat dan sentiasa dapat merasai bersama perasaan rakyat yang juga pelanggan kami. Kami semua sedar ini merupakan tempoh sukar bagi keluarga yang terkesan kerana tempat tinggal mereka musnah dan perlukan dorongan dan semangat untuk bermula semula.

“Pemberian rebat bernilai RM9 juta dan peruntukan lebih RM40 juta yang disediakan sebelum ini mencerminkan nilai-nilai teras warga TNB termasuk keprihatinan, di samping rasa kebersamaannya dengan rakyat,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya