BENGALURU: Harga emas susut dalam sesi dagangan semalam,tertekan oleh hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, kerana pelabur mencari petunjuk mengenai garis masa kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) daripada mesyuarat dasarnya minggu depan.
Harga emas semasa jatuh 0.1 peratus kepada AS$1,817.11 (RM7,600.43) seauns. Niaga hadapan emas AS sedikit berubah kepada AS$1,816.20 (RM7,596.62).
Perhatian pelabur global kekal tertumpu pada mesyuarat Fed pada 25 hingga 26 Januari ini selepas pegawai bank pusat memberi isyarat bahawa mereka akan mula menaikkan kadar faedah pada Mac untuk mengawal inflasi, yang meningkat 7 peratus bulan lepas daripada tahun sebelumnya, kadar terpantas dalam hampir 40 tahun.
Emas dianggap sebagai lindung nilai inflasi, tetapi logam itu sangat sensitif terhadap kenaikan kadar faedah AS, yang meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong tanpa faedah.
Penanda aras kadar 10 tahun hasil Perbendaharaan AS meningkat ke paras tertinggi dua tahun, mengurangkan daya tarikan kepada hasil bukan logam.
Kedudukan jangka pendek emas terletak `di tangan’ Fed dan seberapa cepat mereka menaikkan kadar faedah dalam tempoh setengah tahun akan datang, kata Stephen Innes, rakan kongsi pengurusan di SPI Asset Management.
Beliau menambah, logam itu berkemungkinan kekal dalam julat dan mungkin bertukar menjadi negatif menjelang mesyuarat berkenaan.
“Setiap hari kami cuba memikirkan betapa pentingnya Fed hawkish berbanding risiko geopolitik lain yang menyelubungi pasaran, seperti situasi di Ukraine, yang terus mengekalkan bidaan di bawah emas sekarang,” kata Innes.
Minggu lalu, Amerika Syarikat berkata, ia bimbang Rusia sedang menyediakan alasan untuk menyerang Ukraine jika usaha diplomasi gagal mencapai objektifnya (dalam menangani ketegangan di negara itu).
Bank of Japan menaikkan unjuran inflasinya untuk tahun fiskal bermula pada April dan berkata, risiko terhadap prospek harga adalah seimbang.
Sementara itu, harga semasa perak turun 0.6 peratus pada AS$22.86 (RM95.62) seauns, dan platinum turun 0.5 peratus kepada AS$966.71 (RM4,043.46), manakala paladium menokok 0.2 peratus kepada AS$1,879.97 (RM7,863.35). – AGENSI










