PETALING JAYA: Agrobank mengumumkan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (P/CEO) berkuat kuasa 3 Januari 2022.
Menurut Agrobank dalam kenyataan, berbekalkan 29 tahun pengalaman dalam bidang perbankan dan kewangan, Tengku Ahmad Badli Shah merupakan seorang berkaliber dan berpengalaman serta mempunyai sejarah prestasi yang terbukti membanggakan dalam industri.
Katanya, sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan di Malaysia iaitu Pelaburan MARA Berhad (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Berhad.
Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang mengalu-alukan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah dalam menerajui tampuk pimpinan di Agrobank.
“Kami yakin menerusi pengalaman luas beliau dalam perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perundangan dan pembiayaan patuh syariah, ditambah pula dengan kemahiran kepimpinan beliau, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Agrobank sebagai sebuah peneraju institusi kewangan pertanian terkemuka di Malaysia.
“Pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan pencapaian dalam menerajui Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021 – 2025 sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara.
“Pihak Lembaga Pengarah Agrobank juga yakin bahawa beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan
berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI),” jelasnya.
Mengulas pelantikannya, Tengku Ahmad Badli Shah berkata: “Saya dengan rasa rendah diri dan berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Agrobank, iaitu sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) yang diamanahkan untuk memastikan pembangunan serta membentuk landskap sektor pertanian negara.
“Agrobank telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam memenuhi peranan yang telah dimandatkan kepadanya terutama dalam tempoh pandemik COVID-19. Ini menandakan kejayaan kepimpinan pengurusan
Bank dan dedikasi serta komitmen warga kerja Agrobank.” – UTUSAN










