Syarikat AS labur RM360 juta bangun ladang lada hitam pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Syarikat AS labur RM360 juta bangun ladang lada hitam pertama di Malaysia

MENTERI Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (belakang, tengah) di samping Azman Ibrahim (belakang, dua dari kiri) menyaksikan pemeteraian MoU dengan McCormick di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Syarikat pengeluar rempah berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd. (McCormick) melabur RM360 juta bagi membangunkan ladang lada hitam pertamanya di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelaburan mega di tanah seluas 600 hektar di Setiu yang dijangka siap pada 2025 itu bakal membolehkan daerah berkenaan muncul hab lada hitam negara.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan kerja-kerja penanaman pertama bermula September ini melibatkan seramai 25 peserta.

“Bagi fasa pertama, selain pembinaan infrastruktur, kita juga akan memulakan aktiviti penanaman dan kesemua petani itu bakal menerima dua hektar tanah untuk dibangunkan.

“Pembangunan projek tanaman lada hitam secara komersial ini mencipta sejarah bagi sektor pertanian serta perladangan Terengganu, malah pihak pelabur turut bersetuju membina kilang pengeringan dan bakal menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd. (TADC) dengan McCormick di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Azman berkata, projek berkenaan cukup istimewa buat McCormick kerana pertama kali lada hitam ditanam di tanah beris dan hasil yang diperolehi lebih baik berbanding yang dikeluarkan di kawasan berbukit atau tanah liat.

Katanya, sebelum persetujuan tersebut, pihak pelabur terlebih dahulu melakukan kajian selama kira-kira tiga tahun di tanah seluas 20 hektar di kawasan sama, sejak 2015.

“Berdasarkan pembuktian konsep (POC) yang menunjukkan hasil amat positif, maka pihak pelabur bersedia meningkatkan pelaburan kepada berskala komersial dan ia selari dengan dasar kerajaan negeri melalui Pelan Strategik Pertanian dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar makanan utama negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN