STOLport Pulau Pangkor bantu tingkat ekonomi tempatan - Utusan Malaysia

STOLport Pulau Pangkor bantu tingkat ekonomi tempatan

SKS Airways melakukan penerbangan sulung ke Pulau Pangkor dari Subang. kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Pulau Pangkor dijangka dapat meningkatkan permintaan pelancongan di pulau tersebut dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan.

Malaysia Airports Holdings Bhd. berkata, lapangan terbang itu dengan kod Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) ‘PKG’, mengalu-alukan penerbangan sulung KI6357 oleh SKS Airways yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport, Subang, kelmarin.

Penerbangan harian SZB-PKG-SZB menggunakan pesawat DHC6-Twin-Otter yang boleh membawa sehingga 19 penumpang.

Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, satu daripada peranan pihaknya adalah untuk bekerjasama rapat dengan badan pelancongan dalam usaha mempromosikan destinasi tempatan.

“Pulau-pulau di Malaysia sudah terkenal dengan tarikan pelancong semula jadinya, dan permintaan pelancongan untuknya adalah kukuh. Permulaan operasi penerbangan komersial akan menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke pulau ini.

“Ditambah dengan status bebas cukai pulau, ini akan menyumbang secara positif ke arah pemulihan ekonomi pulau dan penduduknya,” katanya dalam kenyataan.

Ketibaan penerbangan sulung pada pukul 2 petang kelmarin disaksikan oleh Zambry; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Menurut Zambry, industri penerbangan tempatan mula menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan semula selepas dua tahun perlahan akibat penularan Covid-19.

“Kemunculan syarikat penerbangan tempatan baharu di negara ini adalah petanda perkembangan positif ini. Keputusan SKS Airways untuk memulakan operasi sudah tentu dipengaruhi oleh peningkatan yang telah kita lihat dalam senario perjalanan udara domestik.

“Disember lalu, pergerakan penumpang domestik kami sudah berada pada kira-kira 60 peratus daripada tahap sebelum Covid-19. Usaha kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi yang tinggi dalam populasi kita juga membolehkan Malaysia beralih ke fasa endemik dengan lebih cepat dan ini akan membantu meningkatkan lagi perjalanan udara,” ujarnya.

STOLport seterusnya yang menerima penerbangan berjadual harian oleh SKS Airways ialah Pulau Redang STOLport bermula dari 31 Januari 2022.

Walaupun PKG dan RDN tidak mempunyai sebarang operasi penerbangan komersial sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia Airports telah berterusan mengekalkan STOLports dengan memastikan ketersediaan kakitangan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Keselamatan Penerbangan Lapangan Terbang (AVSEC) pada setiap masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN