Stok simpanan AS melonjak, harga minyak jatuh - Utusan Malaysia

Stok simpanan AS melonjak, harga minyak jatuh

HARGA minyak mentah kembali meningkat selepas merosot pada sesi sebelumnya. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Harga minyak merosot semalam ketika peningkatan stok simpanan bahan api Amerika Syarikat (AS) mewujudkan kebimbangan pengurangan permintaan di negara pengguna minyak terbesar dunia itu.

Ia berlaku ketika AS mengalami lonjakan kes jangkitan Covid-19 disebabkan varian Omicron.

Stok simpanan gasolin AS meningkat sebanyak 7.1 juta tong dalam minggu berakhir 31 Disember, lapor Institut Petroleum Amerika (API). Stok simpanan sulingan pula meningkat 4.4 juta tong pada minggu tersebut.

Peningkatan stok tersebut yang mengatasi jangkaan penganalisis menafikan unjuran bulis oleh pelabur semasa sesi sebelumnya ketika harga meningkat lebih satu peratus apabila peserta pasaran menjangkakan keputusan pengeluar utama untuk menambah bekalan pada bulan hadapan sebagai petanda peningkatan kes Covid-19 tidak akan memberi kesan panjang kepada permintaan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 28 sen atau 0.4 peratus kepada AS$79.72 (RM334.09) setong pada 0329 GMT semalam, selepas mencecah AS$80.26 (RM336.35) sementara niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS jatuh 29 sen atau 0.4 peratus kepada AS$76.70 (RM321.43) setong.

Penganalisis Barclays, Amarpreet Singh dalam nota kajiannya berpandangan, asas pasaran melemah baru-baru ini seperti yang dilihat dalam bentang masa agregat.

“Ia merupakan indikator keseimbangan permintaan-bekalan yang baik,” katanya.

Amarpreet percaya, varian Omicron tidak memberi kesan besar kepada permintaan minyak memandangkan ia telah terbukti memberikan kesan yang lebih sederhana berbanding kebimbangan awal.

“Namun, akan ada kesan kepada permintaan daripada sekatan yang bertambah dalam perjalanan antarabangsa serta skala penularannya yang terbaharu,” katanya.

Seperti dijangka, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak, Russia dan sekutunya (OPEC+) bersetuju menambah 400,000 tong sehari bekalan pada Februari, seperti yang dilakukannya setiap bulan sejak Ogos.

Keputusan untuk mengekalkan peningkatan output menggambarkan pandangan kumpulan itu bahawa Omicron akan hanya memberi kesan sementara kepada permintaan tenaga global.

Penganalisis OANDA, Edward Moya berkata, rancangan untuk beransur-ansur mengembalikan pengeluaran boleh berterusan ketika OPEC+ mengharapkan pasaran yang lebih sempit pada suku pertama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN