PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada usahawan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Sumbangan akan akan diagihkan kepada 200 penerima, di mana setiap usahawan akan menerima bantuan sebanyak RM500.
Menurut SSM dalam kenyataan, inisiatif itu adalah sebagai pelengkap kepada inisiatif yang disalurkan kepada usahawan asnaf sebelum ini melalui peruntukan wakalah zakat korporatnya.
Pelancaran inisiatif sumbangan itu telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Seri Alexander Nanta Linggi secara simbolik kepada 10 wakil penerima yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
Menurut Alexander, sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah kementeriannya, SSM turut menyahut seruan Kerajaan di bawah konsep ‘kebersamaan’ di dalam Keluarga Malaysia yang menyarankan agar semua
pihak berganding bahu membantu dan menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021, SSM telah mengagihkan wakalah zakat korporat sebanyak RM7,521,463 kepada golongan asnaf fakir miskin, mualaf, gharimin, penerima agihan fisabilillah terdiri daripada masjid, surau, sekolah-sekolah dan hospital seluruh negara.
“Manakala pengagihan peruntukan CSR bagi tempoh yang sama pula, SSM telah mengagihkan sebanyak RM424,039 kepada golongan yang memerlukan.
“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada golongan B40 untuk membina semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN










