PETALING JAYA: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Malaysia Aviation Group telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) selama setahun untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pada tahun ini.
Melalui kerjasama itu, STB dan MAG akan bekerjasama untuk memasarkan dan mempromosikan acara yang diadakan oleh STB, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Firefly, MASwings dan MHholidays.
Kedua-dua organisasi itu juga akan bekerjasama untuk aktiviti pelancongan Sarawak, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan peluang kerjasama yang lain.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesalinghubungan dan kebolehcapaian adalah elemen penting untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dan meletakkan Sarawak sebagai sebuah destinasi utama untuk eko-pelancongan di rantau Asean.
“Tambahan lagi, baru-baru ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah mengumumkan Sarawak telah meluluskan lebih banyak frekuensi penerbangan domestik ke Sarawak daripada 307 penerbangan kepada 562 penerbangan seminggu, berkuat kuasa 14 Januari lalu.
“Kami tidak sabar untuk melihat lebih banyak penerbangan terus dari Malaysia Barat ke lebih banyak bahagian di Sarawak tidak lama lagi,” katanya dalam ucapan sempena majlis pemeteraian MoU itu, semalam.
MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor, Ketua Pemasaran Kumpulan dan Pegawai Pengalaman Pelanggan MAB, Lau Yin May.
Turut hadir, Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Dennis Ngau dan Ketua Kumpulan Penerbangan Malaysia, Kapten Izham Ismail.
Sementara itu, Sharzede Datu berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat menandatangani MoU dengan MAG semalam.
“Malaysia Airlines bukan sahaja akan menjadi syarikat penerbangan rasmi Sia Sitok Sarawak Plus, tetapi juga mempunyai MAB, Firefly, MASwings dan MHholidays sebagai rakan kongsi strategik kami dalam pemasaran dan kempen pada masa depan untuk mempromosikan aktiviti pelancongan dan acara kebudayaan Sarawak.
“Paling penting, menerusi kerjasama itu, akan wujud satu peningkatan keterhubungan ke Sarawak, dengan lebih banyak penerbangan terus dari Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Sempena majlis itu, STB turut melancarkan kempen pelancongan Sia Sitok Sarawak Plus antara negeri untuk memberi peluang kepada pengembara melawat Sarawak melalui pintu masuk pelancongan iaitu Kuching, Sibu dan Miri dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.
Pelanggan boleh menikmati pakej hotel dan penerbangan yang menarik melalui MHholidays, cabang operasi pelancongan syarikat penerbangan itu, dan pilih daripada senarai hotel yang mengambil bahagian termasuk Baharu World Suites di Bintulu, The Waterfront Hotel di Kuching dan Grand Palace Hotel di Sibu untuk penginapan.
Untuk maklumat lanjut, layari malaysiaairlines.com atau muat turun aplikasi Malaysia Airlines untuk mendapatkan maklumat terkini, peluang menarik serta promosi Sia Sitok Sarawak Plus. – UTUSAN










