Rumah mahal: Hong Kong tubuh biro tangani harga - Utusan Malaysia

Rumah mahal: Hong Kong tubuh biro tangani harga

RAKYAT Hong Kong dikatakan sukar untuk memiliki kediaman selesa disebabkan harga rumah terlalu mahal, namun bersaiz kecil. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Ketua Eksekutif Carrie Lam mengumumkan bahawa Hong Kong akan menubuhkan sebuah biro untuk memberi tumpuan kepada isu perumahan, selepas Beijing mengarahkan kerajaannya menangani harga rumah di wilayah itu yang disifatkan paling mahal di dunia.

Lam mendedahkan penstrukturan menyeluruh kerajaannya ketika badan perundangan pertama “patriot sahaja” di bandar itu dibuka semalam.

Beliau dilaporkan berkata, perubahan itu harus berkuat kuasa apabila penggal ketua eksekutif seterusnya bermula.

Malah, beliau turut menyempurnakan pelan perumahan utama dipanggil Metropolis Utara yang diumumkan pada ucapan dasar tahunannya Oktober lalu.

“Majlis perundangan harus memperkemas beberapa peraturan tanah untuk mewujudkan keadaan yang menggalakkan bagi projek berkenaan,” jelas Lam.

Langkah-langkah lain yang digaris beliau termasuk, membentuk biro pelancongan budaya dan sukan baharu; rancangan memperbaharui Biro Makanan dan Kesihatan; meningkatkan biro dasar daripada 13 kepada 15 dan rancangan menambah timbalan setiausaha di jabatan-jabatan utama.

Menurut satu laporan, kediaman di Hong Kong telah tersenarai sebagai paling mahal di dunia, dengan apartmen bersaiz 500 kaki persegi di Victoria Harbour boleh mencecah harga HK$50 juta (AS$6.4 juta/RM26.75 juta)

Harga kediaman itu yang saiznya lebih besar sedikit daripada bilik suite hotel, dikatakan 20 kali lebih tinggi daripada pendapatan tahunan median penduduk Hong Kong, sekali gus menjadikannya empat kali `tidak mampu milik’. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN