PETALING JAYA: Pergerakan penumpang bulanan bagi kumpulan lapangan terbang Malaysia Airports termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) di Turki melepasi paras lima juta buat kali pertama bagi keseluruhan 2021 pada Disember lalu.
Kumpulan mencatatkan sejumlah 5.35 juta pergerakan penumpang dengan operasi Malaysia menyumbang 3.11 juta atau 58 peratus, manakala ISG menyumbang 2.23 juta atau 42 peratus.
Pertumbuhan bagi penumpang Malaysia itu didorong oleh trafik domestik yang mencatatkan 2.80 juta penumpang iaitu peningkatan 30 peratus daripada 2.16 juta penumpang pada November, berikutan cuti panjang akhir tahun.
Sementara itu, pergerakan penumpang antarabangsa juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan daripada November sebanyak 114 peratus kepada 320,371 pergerakan pada bulan lalu.
Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh perjalanan umrah dan pelaksanaan program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, Malaysia Airports mengekalkan pandangan berhati-hati kerana kedua-dua perjalanan umrah dan program VTL digantung buat sementara waktu berdasarkan perkembangan semasa varian Omicron Covid-19.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, berdasarkan permintaan yang dijana oleh program VTL yang dibuktikan dengan tiket penerbangan habis dijual, adalah jelas bahawa program sebegini akan menjadi pemangkin untuk pemulihan perjalanan udara.
Jelasnya, permintaan yang sama timbul daripada penyambungan semula perjalanan umrah sejak Oktober dan prestasi trafik Disember 2021 telah berada pada 41.6 peratus daripada tahap sebelum Covid-19.
“Peranan kami sebagai pengendali lapangan terbang adalah memastikan kami memudahkan semua prosedur operasi standard (SOP) dan proses tambahan yang diperlukan untuk perjalanan tersebut.
“Kami sentiasa berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Imigresen KLIA untuk menambah baik pengalaman penumpang.
“Selain itu, kami mengerahkan Duta Lapangan Terbang CARE dan kakitangan Keselamatan Penerbangan untuk menguruskan aliran penumpang dari pintu masuk ke kawasan pemeriksaan kesihatan dan imigresen untuk memastikan keselamatan,” katanya dalam kenyataan.
Selaras dengan pertumbuhan pergerakan penumpang di Malaysia, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 40,147 pergerakan pesawat pada Disember, meningkat 21 peratus daripada November.
Penerbangan antarabangsa juga meningkat sebanyak 15 peratus kepada 6,582 penerbangan pada Disember daripada 5,732 penerbangan pada bulan sebelumnya. – UTUSAN










