Proton rekod jualan tertinggi sejak 2014 - Utusan Malaysia

Proton rekod jualan tertinggi sejak 2014

Proton X50 muncul SUV paling laris di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton meng­akhiri 2021 dengan keputusan cemerlang dengan rekod jualan mencecah 14,147 unit pada Di­sember, menjadikan jumlah jualan keseluruhan pada tahun lalu sebanyak 114,708 unit, jumlah tertinggi sejak 2014.

Jumlah itu merupakan penambahan sebanyak 4.5 peratus berbanding 2020 dan penambahan jualan bagi tahun ketiga berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Proton X50 mengakhiri 2021 dengan jumlah jualan sebanyak 28,774 unit, tertinggi secara ke­seluruhan segmen SUV, dan mencapai jualan bulanan ter­tinggi dengan 4,310 unit.

“Ia adalah bulan kedua berturut-turut jualan melebihi 4,000 unit. Proton X70 pula mencatatkan 16,735 unit dengan jualan sebanyak 1,616 unit bulan lalu.

“Pencapaian itu membolehkan ia mendahului kelas SUV segmen C dan menduduki tangga ketiga bagi jualan SUV keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Roslan, Saga merupakan model terlaris Proton tahun lalu dan berjaya mendekati pesaing terdekat untuk bersama mendahului pasaran sedan segmen A dengan jualan sebanyak 42,627 unit termasuk unit yang dihantar sebagai pek CKD luar negara.

Ujarnya, 2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ia jelas dilihat dalam penurunan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang telah mengundur sebanyak 4.6 peratus kepada 505,000 unit.

“Dari krisis bekalan cip global kepada peningkatan kes Covid-19 yang menyebabkan PKP dan penambahan kos penghantaran, ada banyak cabaran yang perlu diatasi.

“Oleh itu, pencapaian Proton dalam jumlah jualan tahun lepas amat ketara kerana ia hasil perancangan rapi dan penggunaan sumber yang sedia ada.

“Selain jualan, bahagian pembiayaan dan pengedaran di Proton juga mendapat pencapaian yang tinggi pada tahun lepas.

“Proton Commerce telah meluluskan 14,550 pinjaman, rekod baharu yang dicapai setelah 2,132 pinjaman diluluskan pada Disember,” katanya.

Syarikat pembiayaan Proton itu juga berjaya merampas gelaran syarikat pembiayaan OEM utama dan menjadi pilihan paling popular bagi pelanggan Saga.

Sementara itu, Perodua merekodkan peningkatan jualan sebanyak 11.5 peratus pada Disember lalu kepada 22,940 unit daripada 20,299 bulan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan lebih baik itu hasil positif daripada tindak balas terhadap gangguan bekalan yang terputus akibat Covid-19.

Bagaimanapun katanya, jualan keseluruhan tahun lalu susut 29.8 peratus berbanding 220,154 unit yang dicatatkan pada 2020, kesan daripada pandemik Co­vid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir baru-baru ini yang memberi kesan buruk kepada pengeluaran.

“Sejumlah 190,291 pendaftaran adalah di bawah sasaran kami iaitu 200,000 unit untuk 2021 kerana cabaran pada tahun lalu lebih besar daripada yang dijangka,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit berjaya dijual, diikuti Axia dan Bezza yang me­nguasai pasaran segmen A. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN