PETALING JAYA: Petronas baru-baru ini telah berjaya melakukan penghantaran Gas Asli Cecairnya (LNG) yang ke 1,000 melalui penyelesaian Sistem Paip Maya (VPS). Ia telah dihantar kepada pelanggan yang terletak di Chemor, Perak.
Penyelesaian inovatif oleh Petronas yang bermula pada 2020 itu, telah menghantar 16 juta kilogram (kg) tenaga rendah karbon menggunakan trak yang dipasang dengan tangki kriogenik untuk pelanggan yang berada di luar grid.
Ketua Pegawai Eksekutif Perdagangan Tenaga dan Gas Petronas, Mohd. Khairuddin Abdul Khalik berkata, pihaknya berbangga kerana mencapai penghantaran yang ke 1,000 dan menjadi pusat sehenti untuk bekalan gas kepada pelanggan di luar grid.
“Dengan infrastruktur yang berpatutan dan operasi yang selamat serta boleh dipercayai, penyelesaian VPS mencerminkan komitmen kami sebagai tenaga progresif dan rakan kongsi untuk penyelesaian bagi memperkasakan dunia secara mampan.
“Paling penting, pencapaian itu menyerlahkan kebolehpercayaan penyelesaian VPS kami yang terus menambah baik kemudahan akses tenaga rendah karbon untuk pelanggan yang tinggal jauh dari saluran paip gas utama.
“Penyelesaian VPS menyediakan pilihan yang berdaya maju kepada pelanggan untuk memperkasakan perniagaan mereka dengan cara yang lebih mampan dan mesra alam dengan gas asli,” katanya dalam kenyataan.
Penyelesaian VPS Petronas yang bersepadu meliputi bekalan, kemudahan muatan dan perkhidmatan logistik kepada perniagaan yang berada di luar grid melalui Terminal Pengegasan Semula (RGT) di Pengerang, Johor. – UTUSAN










