Perjanjian tenaga buruh asing dipercepatkan - Utusan Malaysia

Perjanjian tenaga buruh asing dipercepatkan

PENGGUNAAN aplikasi BIM di negara ini masih disasarkan secara meluas bukan sahaja di fasa perancangan dan reka bentuk, tetapi juga dalam fasa pelaksanaan, fasa yang mana pembinaan sedang berjalan, fasa pengurusan kontrak dan juga fasa penyelengaraan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian bekalan tenaga buruh dari Indonesia akan dipercepatkan untuk menampung keperluan industri pembinaan negara serta merancakkan semula sektor tersebut.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan mengenai usaha untuk membawa masuk tenaga buruh dari Indonesia dan Myanmar sebelum ini dibuat bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Myanmar sudah ditandatangani, namun perjanjian sama dengan Indonesia dijangka akan berlangsung sekitar bulan depan atau lebih awal.

“Sepatutnya, MoU dengan Indonesia dilakukan pada Februari, tetapi ia akan dipercepatkan berikutan industri pembinaan memerlukan tenaga buruh asing.

“KSM dan KDN akan pergi ke Indonesia untuk memuktamadkan MoU bagi memastikan projek melibatkan sektor pembinaan di Malaysia boleh kembali rancak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Fadillah sebelum itu melancarkan galeri jualan kediaman mewah, Alfa Bangsar oleh pemaju City Motors Group (CMG) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM450 juta yang dijangka akan membantu merancakkan semula sektor pembinaan negara.

Projek yang mempunyai 42 tingkat itu dijangka akan siap tahun depan pada pertengahan 2023. CMG juga baru-baru ini telah mendapat kelulusan untuk memulakan pembinaan satu lagi projek pembangunan bercampur bertingkat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Fadillah memberitahu, kedua-dua projek GDV gabungan modal RM2 bilion itu amat dialu-alukan untuk membantu menggiatkan semula ekonomi negara dan kesan pembinaan itu juga akan memanfaatkan lebih 140 industri sokongan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CMG, Terence Chia berkata, Alfa Bangsar terletak di beberapa tanah pegangan bebas yang ada di kawasan utama dan tawaran jualan hanya 178 unit pangsapuri khidmat lengkap ‘edisi terhad’.

“Kediaman itu akan meningkatkan perkhidmatan hospitaliti di premis hiburan dan syurga makanan ini ke tahap cemerlang yang tiada tandingan.

“Mengambil ilham nama Alfa sempena jenama kereta Alfa Romeo yang terkenal, kami bertanggungjawab untuk mempertahankan kualiti yang dipamerkan oleh kereta itu dan itulah cara kami ingin meletakkan profil korporat CMG.

“CMG turut mempunyai rancangan untuk membangunkan lebih 300 ekar tanah simpanan milik kamidi Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Cheras, Perak dan Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN