Penggantungan Serba Dinamik disambung - Utusan Malaysia

Penggantungan Serba Dinamik disambung

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggantungan dagangan saham Serba Dinamik Holdings Berhad dilanjutkan sehingga makluman selanjutnya, menurut Bursa Malaysia.

Dalam maklumannya semalam, Bursa Malaysia berkata syarikat minyak dan gas itu masih tidak melaksanakan arahannya untuk membuat pengumuman berkenaan dapatan Kemas Kini Dapatan Fakta untuk Semakan Bebas Khas.

“Syarikat tersebut telah menerbitkan laporan tahunan dengan tunggakan yang merangkumi penyata kewangan teraudit tahunan bersama laporan juruaudit dan pengarah untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada 6 Januari lalu.

“Memandangkan syarikat tersebut masih tidak memenuhi arahan Bursa Sekuriti untuk membuat pengumuman tentang dapatan daripada Kemas Kini Dapatan Fakta untuk Semakan Bebas Khas, penggantungan dagangan saham syarikat itu akan diteruskan sehingga makluman seterusnya,” katanya.

Bursa Malaysia menggantung dagangan sekuriti Serba Dinamik termasuk semua waran berstrukturnya bermula 22 Oktober lalu.

Menurut Bursa Malaysia, penggantungan itu tertakluk kepada perenggan 16.02(1)(c) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Lembaga Pengarah Serba Dinamik minggu lalu mengumumkan syarikat itu merupakan penerbit tersenarai yang terkesan di bawah Nota Amalan 17 (PN17).

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Lembaha Pengarah Serba Dinamik telah mencetuskan kriteria menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(d) PN17 keperluan penyenaraiannya.

Ia berikutan juruaudit luarannya, Messrs. Nexia SSY PLT. menerbitkan laporan tanpa pandangan dalam kenyataan audit syarikat tersebut untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.

“Oleh itu, pada tarikh ini, Serba Dinamik dianggap sebagai syarikat PN17,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN