Pemulihan kukuh sektor penerbangan domestik - Utusan Malaysia

Pemulihan kukuh sektor penerbangan domestik

Perkhdmatan berkualiti yang diberikan oleh KLIA membolehkan lapangan terbang itu dinobatkan antara terbaik di dunia menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meluluskan sebanyak 82 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) sepanjang tahun 2021 dengan kadar kelulusan sebanyak 98.8 peratus, sekali gus menjangkakan pemulihan kukuh bagi sektor penerbangan domestik.

Menerusi Laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat 2021 iaitu pada 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu, suruhanjaya telah meluluskan 27 daripada 28 permohonan ATR yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan.

“Peruntukan itu menandakan peningkatan permohonan ATR sebanyak 33.3 peratus serta peningkatan sebanyak 28.6 peratus bagi kelulusan ATR berbanding dengan suku ketiga 2021.

“Daripada 28 permohonan ATR tersebut, 17 merupakan permohonan bagi laluan penerbangan domestik yang menunjukkan permohonan ATR telah meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding tujuh permohonan ATR yang diterima pada suku sebelumnya,” menurut laporan itu.

Suruhanjaya turut melaporkan bahawa pembukaan semula sempadan negeri pada Oktober 2021 serta peningkatan permintaan penerbangan bagi percutian domestik merupakan faktor-faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan permohonan ATR.

Destinasi-destinasi utama bagi penambahan penerbangan tersebut adalah ke Langkawi, diikuti oleh Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Bharu.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun negara masih berhadapan dengan cabaran Covid-19, suruhanjaya dapat menyaksikan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dalam sektor penerbangan tempatan dengan peningkatan permohonan ATR bagi laluan penerbangan domestik pada suku keempat tahun lalu.

“Perkembangan memberangsangkan ini menunjukkan daya tahan sektor penerbangan yang kukuh dan mampan untuk bangkit semula ke tahap pra-pandemik.

“Mavcom berharap perkembangan ini akan berterusan dan turut menggalakkan pengguna penerbangan udara untuk merancang penerbangan mereka bagi musim perayaan dengan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan orang ramai di lapangan terbang serta pembelian harga tiket penerbangan yang tinggi,” ujarnya.

Suruhanjaya turut menerima 13 permohonan ATR bagi segmen kargo udara yang menandakan pertumbuhan sektor yang berterusan dan mampan.

Pemegang-pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kargo baharu iaitu World Cargo Airline Sdn. Bhd. dan M Jets International Sdn. Bhd. turut menyumbang kepada peningkatan kelulusan ATR dan telah menerima peruntukan sebanyak sembilan ATR secara keseluruhan bagi suku keempat 2021.

Suruhanjaya juga menjangkakan segmen kargo udara bakal berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun bagi tahun ini, iaitu antara 20.8 dan 21.6 bilion dalam Freight Tonne Kilometre (FTK).

Dari segi peruntukan ATR bagi suku keempat 2021 pula, Malaysia Airlines Berhad dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan tertinggi dengan peruntukan sebanyak enam ATR, AirAsia Berhad (lima), M Jets International Sdn. Bhd. (tiga), MyJet Express Airlines Sdn. Bhd. (satu) manakala AirAsia X Berhad, FlyFirefly Sdn. Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd. masing-masing diperuntukkan dua ATR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN