Peluang perniagaan dalam sukan golf - Utusan Malaysia

Peluang perniagaan dalam sukan golf

MINAT yang mendalam dalam sukan golf mendorong Mohamed Rasshi Mahmud membuka Golfers Dock di Ampang yang menawarkan pelbagai kelengkapan dan peralatan diperlukan dalam sukan berkenaan. – UTUSAN / SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semenjak berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat pendatang-pendatang baharu di dalam arena sukan golf yang memeriahkan lagi gelanggang sukan tersebut.

Sukan golf yang kelihatan berjaya membuka pintu bagi pemain-pemain untuk menghilangkan tekanan ekoran pekerjaan atau kehidupan sosial turut dikatakan tidak mempunyai risiko tinggi bagi pemain untuk tercedera berbanding sukan lain.

Kajian mendedahkan sukan tersebut bukan sahaja membantu dalam membakar kalori badan tetapi ia juga membantu meningkatkan kesihatan jantung pemain sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti pe­nyakit seperti kencing manis, tekanan darah dan strok.

Maka tidak hairan, selain sukan berbasikal yang kini melonjak naik menjadi trend semasa, sukan golf juga dilihat semakin berkembang hingga menarik anak-anak muda mendekatkan jiwa mereka terhadap sukan tersebut.

Sukan golf yang sering dikaitkan dengan golongan elit, turut menyediakan peluang perniagaan yang luas bagi mereka yang mahu serius menceburinya.

Justeru, kerancakan aktiviti sukan golf membuka jalan kembali buat pengusaha seperti Mohamed Rasshi Mahmud, 47, meneruskan perniagaan menjual peralatan golf dan turut menawarkan servis baik pulih bagi individu yang ingin mendapatkan set golf bersesuaian di kedainya, Golfers Dock di Taman Dagang, Ampang.

Nama Mohamed Rasshi sebenarnya tidak asing bagi kaki-kaki golf apabila beliau tidak kedekut memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain untuk memilih set golf yang sesuai dengan mereka khususnya pendatang baharu, sementelah Golfers Dock memiliki segala kelengkapan yang diperlukan dalam sukan golf.

MOHAMED Rasshi Mahmud memeriksa kayu golf yang dijual di kedainya, Golfers Dock.

Permulaan perniagaanya bermula dengan detik hitam apabila ditipu oleh rakan niaga yang menarik diri secara tiba-tiba sehingga memaksa beliau terpaksa menggunakan modal sendiri bagi meneruskan ‘hayat’ perniagaannya.

Bermula dari hobi kemudian menjadi sumber pendapatannya, Mohamed Rasshi terus menjalankan perniagaan sejak 2013 walaupun ditekan oleh penutupan sektor ekonomi sejak PKP ekoran penularan Covid-19.

“Apabila PKP melanda negara, ia bagai tamparan hebat buat saya. Saya terpaksa kurangkan perbelanjaan daripada pelbagai sudut, akan tetapi saya bernasib baik kerana pada masa kini ada media sosial jadi saya menjalankan aktiviti pemasaran di platform itu.

“Dengan izin Allah, perniagaan saya semakin hari menjadi lancar dan kepayahan yang dahulunya dirasai kini berbaloi apabila ramai mengenali Golfers Dock serta menjadi pelanggan tetap kami,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Antara pemain golf profesional yang menjadi pelanggan tetap di Golfers Dock adalah Kamarul Baharin.

Mohamed Rasshi yang sebelum ini seorang kedi dan pernah menimba ilmu membaik pulih peralatan golf di Jepun berkata, dengan modal awal kira-kira RM6,000 sebagai deposit kedai, kini beliau mahu melebar dan mengukuhkan perniagaannya dengan membuka ‘driving range’ pada masa akan datang.

“Selain menawarkan peralatan golf berkualiti tinggi, kami juga mengalu-alukan pemain-pemain sukan golf datang ke kedai bagi mendapatkan pengiraan spek kayu yang sesuai dengan masalah-masalah mereka. Saya berbesar hati untuk berkongsi ilmu.

“Di Golfers Dock, kami pastikan set golf mengikut keselesaan pemaini. Jika pukulan pemain ke sebelah kiri, kami boleh buat pemain dapat memukul ke arah kanan. Jika pemain beli set yang sudah siap ia boleh membuat mereka tidak selesa dan mungkin mengalami kecede­raan,” jelasnya.

Bagi kaki-kaki golf yang ­ingin mendapatkan perkhidmatan Golfers Dock, boleh dilayari FB Rasshi Mahmud; FB page – ­golfers dock; IG-Golfers dock atau hubungi Mohamed Rasshi di talian +6017-2326678. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN