Pecca beli tanah perindustrian di Serendah untuk pengembangan perniagaan automotif  - Utusan Malaysia

Pecca beli tanah perindustrian di Serendah untuk pengembangan perniagaan automotif 

TEOH HWA CHENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pecca Group Berhad (Pecca), syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang terlibat terutamanya dalam pembuatan dan reka bentuk upholsteri kulit kenderaan, mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Pecca Leather Sdn. Bhd. (PLSB) telah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan UMW Development Sdn. Bhd. berhubung pembelian tanah perindustrian kosong pegangan pajakan seluas 4.31 ekar dengan pertimbangan pembelian RM8.45 juta.

Terletak di Serendah, Selangor, tanah itu adalah sebahagian daripada pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman campuran yang dikenali sebagai UMW HVM Park.

Ia sebuah taman pembangunan perindustrian bernilai tinggi yang dibangunkan khusus untuk aktiviti pembuatan bernilai tinggi dalam industri seperti penjagaan kesihatan dan automotif yang mana Syarikat terbabit di dalamnya, jelas syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

Pecca berkata, pembinaan bangunan kilang itu akan mengikut reka bentuk dan spesifikasi bernilai tinggi selaras dengan keperluan di bawah Pelan Induk Taman UMW HVM.

“Selepas itu, kedua-dua pihak akan menandatangani Perjanjian Ikatan Bersama untuk mengekalkan kemudahan dan perkhidmatan bersama di taman perindustrian untuk faedah semua pihak,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Pecca, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, pengambilalihan itu dicadangkan untuk membangunkan dan membina kemudahan pembuatan kedua bagi operasi syarikat.

“Ini akan membolehkan Pecca meningkatkan kapasiti pengilangan dan pengeluarannya dengan ketara dalam memenuhi pesanan masa hadapan,” katanya.

Kata beliau, sejak penutupan seluruh industri telah ditarik balik, kadar penggunaan untuk kemudahan pembuatan semasa syarikat telah menyaksikan peningkatan kepada hampir 100 peratus disebabkan oleh pengeluar kereta mengejar pesanan tertunggak mereka.

“Selain memenuhi keperluan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kami, pemerolehan tanah di taman pembuatan bernilai tinggi itu juga selaras dengan strategi Pecca untuk meningkatkan kecekapan operasinya dengan menyepadukan inovasi terbaharu dalam Industri 4.0 dan infrastruktur pembuatan termaju.

“Ini akan menyediakan dan melengkapkan kami dengan lebih baik untuk memenuhi semua keperluan mana-mana pelanggan baharu,” tambahnya.

Dengan permodalan pasaran kira-kira RM637 juta, Pecca terlibat terutamanya dalam penggayaan, pembuatan dan pemasangan upholsteri kulit untuk sarung tempat duduk bagi industri automotif dan penerbangan.

Ia merupakan pengeluar upholsteri kulit automotif terbesar iaitu pengeluar peralatan asal (OEM) dan pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) dalam segmen kenderaan penumpang di Malaysia, dan sudah berada di pasaran eksport seperti Singapura, AS, Belanda, Australia, New Zealand, United Kingdom (UK), Ireland dan China.

Pecca juga terlibat dalam pembuatan produk penjagaan kesihatan melalui anak syarikatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×