Pasaran buruh dijangka kukuh tahun ini - Utusan Malaysia

Pasaran buruh dijangka kukuh tahun ini

PEMULIHAN berterusan ekonomi membantu peningkatan sektor pasaran buruh di dalam negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran dijangka pulih kepada 3.9 peratus tahun ini, dipacu perkembangan ekonomi serta pelbagai sokongan dasar yang berterusan.

Firma penyelidikan itu berkata, momentum pemulihan tersebut turut disokong permintaan luar yang kukuh.

“Walau bagaimanapun, kami mengulangi tinjauan optimistik yang berhati-hati terhadap pasaran buruh tahun ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh risiko penurunan berterusan yang dikaitkan dengan varian baharu Covid-19 yang mungkin menjejaskan pemulihan pertumbuhan,” katanya dalam nota kajian.

Kelmarin, Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar pengangguran November 2021 menurun di bawah 700,000 orang buat kali pertama sejak April 2020.

Kadar pengangguran kekal pada 4.3 peratus untuk bulan kedua berturut-turut.

Menurut Kenanga Research, pasaran buruh dijangka terus pulih pada Disember 2021 dan mencapai angka purata 4.6 peratus sepanjang tahun, sejajar dengan pembukaan semula meluas ekonomi domestik yang disokong oleh kemajuan kempen vaksinasi Covid-19.

“Penganggur jatuh untuk bulan keempat berturut-turut pada November 2021, mencerminkan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan menjadikan jumlah penganggur sebanyak 694,400 pada November 2021 berbanding 705,000 pada Oktober.

“Ia adalah yang terendah sejak Mac 2020,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, pertumbuhan pasaran buruh mencatatkan pengembangan berterusan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan pada November daripada Oktober (0.6 peratus), walaupun pada kadar yang agak perlahan dalam tempoh empat bulan, katanya.

“Tenaga buruh berkembang 0.2 peratus pada November 2021 daripada 0.4 peratus bulan sebelumnya tetapi pada kadar yang lebih perlahan dan menghasilkan jumlah tenaga buruh ke rekod tertinggi 16.3 juta daripada 16.26 juta,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat untuk bulan keempat berturut-turut kepada 69 peratus pada November 2021 daripada 68.8 peratus bulan sebelumnya, rekod tertinggi berikutan rakyat kembali mencari pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN