Operasi TNB boleh terjejas - Utusan Malaysia

Operasi TNB boleh terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Larangan eksport arang batu oleh Indonesia baru-baru ini boleh menyebabkan harga arang batu lebih tinggi berikutan kebergantungan Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada pasaran spot untuk mendapatkan bekalan.

Menurut CGS CIMB, TNB memperoleh sekitar 60 peratus daripada bekalan arang batunya dari Indonesia, diikuti oleh Australia, Rusia dan Afrika Selatan

Memetik pengurusan TNB, firma penyelidikan itu berkata, terdapat bekalan yang mencukupi untuk operasi loji arang batu, kerana mereka memerlukan 30 hari inventori arang batu di bawah perjanjian pembelian kuasa (PPA).

“Kumpulan juga mempunyai fleksibiliti untuk menghantar lebih banyak gas loji janakuasa untuk memenuhi permintaan elektrik, memandangkan kos penjanaan loji arang batu yang lebih tinggi dan larangan eksport arang batu,” katanya dalam nota kajian.

Sementara itu, CGS CIMB berkata, TNB mengalu-alukan pengenalan harga karbon yang penting untuk menyediakan pemain industri bagi pelaksanaan lebih ketat mekanisme kawalan karbon di peringkat global selain memastikan negara memenuhi agenda pembangunan mampan.

“Pada pandangan kami, harga karbon berkemungkinan akan menjadi pendapatan neutral kepada penjana kuasa bahan api fosil kerana kos tambahan mungkin akan dimansuhkan,” kata CGS CIMB.

Menurut firma, TNB turut menerangkan kelewatan peraturan berasaskan insentif (IBR) tempoh kawal selia 3 (RP3, 2022-24) adalah disebabkan peralihan keutamaan kerajaan kepada krisis banjir baru-baru ini.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan parameter semasa sambungan IBR RP2 dan mekanisme lulus kos ketidakseimbangan berkuat kuasa dari 1 Januari 2022 sehingga diberitahu kelak,” ujarnya.

Tambah CGS CIMB, dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, TNB memulangkan kira-kira RM266 juta pelarasan kawal selia lain berikutan harga jualan purata yang lebih tinggi daripada entiti had harga.

Pada waktu rehat tengah hari semalam, saham TNB susut dua sen atau 0.22 peratus kepada RM9.08, menilai kumpulan itu pada RM52.11 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN